Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum... kawan saya baru sahaja mendirikan rumah tangga adakah sah nikah kalau mas kahwin yang di lafaz masa akad nikah rm7000 tetapi wang tersebut tidak wujud , maksudnya dia menipu tentang duit hantaran masa akad nikah sedangkan duit tu tiada tapi resit bank yg tunjuk masa akad nikah guna duit pinjam, adakah nikah tersebut dikira sah atau tidak , saya harap dapat jawapan secepat mungkin
Jawapan
Pernikahan tersebut adalah sah selagimana ia sempurna dari sudut rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Adapun maskahwin atau mahar tidak termasuk dalam rukun dan syarat nikah, namun ia adalah harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah. Maskahwin juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut.
Dalam menjawab pertanyaan saudari, walaupun maskahwin itu tidak wujud semasa akad nikah, namun pengantin lelaki tetap wajib menyerahkannya pada waktu yang lain dan ia dikira sebagai hutang yang wajib dilunaskan. Dan perbuatan menipu tentang maskahwin itu adalah suatu perbuatan dosa dan wajib untuk bertaubat kepada Allah dan oleh kerana maskahwin ini ada hubungkait sesama manusia, maka syarat taubat itu termasuklah juga melunaskan hutang maskahwin tersebut kepada isterinya.
Sekian, terima kasih.