Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum,
Bolehkah saya melepaskan tanggungjawab saya sementara kepada bapa mertua saya kerana isteri tidak lagi mendengar kata suami semasa bergaduh? Walaupun suami sudah menasihati tapi isteri tetap berkeras dengan keputusan sendiri
Jawapan
Tanggungjawab suami tidak boleh dilepaskan atau diserahkan kepada orang lain, termasuk bapa mertua. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 34:
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
Pada asasnya, adalah menjadi tanggungjawab kepada suami untuk untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak serta melayan mereka dengan sebaiknya sebagaimana yang ditetapkan mengikut syarak. Begitu juga isteri bertanggungjawab untuk mentaati suami, melainkan di dalam perkara yang bercanggah atau menyalahi perintah Allah SWT.
Apabila isteri tidak mentaati suami, berbincanglah dengan baik dan bimbing isteri dengan hikmah walaupun ada perselisihan. Suami boleh meminta pihak ke tiga yang dipercayai seperti bapa isteri untuk menasihati isteri. Suami juga boleh membawa isteri ke Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah yang terdekat untuk berbincang bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik. Tanggungjawab suami terhadap isteri seperti nafkah dan sebagainya tidak akan terlepas daripada suami sehingga isteri disahkan telah berlaku nusyuz oleh pihak Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.