BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan, saya ada soalan. Dulu waktu kecik saya pernah mencuri barang di suatu pasar raya dan sekarang saya dah insaf. Saya nk tahu macam mana cara saya nk ganti barang tu saya pon tk tahu barang curian tu masih ada atau pon tidak. Saya pernah dengar yang sekiranya barang itu masih ada kita perlu pulangkan barang itu, dan sekiranya barang itu tiada kita perlu gantikan dengan nilai yang sama. Keutamaan saya sekarang ialah macam mana cara saya nk ganti? Kepada siapa saya perlu berikan barang/nilai untuk diganti itu sbb saya melakukannya di pasar raya yang cukup besar di bandar saya. Saya takut sekiranya saya beri tahu kepada mereka saya akan dikenakan tindakan undang². 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan saudara, mencari jalan untuk  bertaubat dan menggantikan semula kesalahan lampau adalah satu tanda taubat yang sungguh mulia dan sangat dihargai dalam Islam. Semoga Allah SWT menerima taubat saudara dan memberkati usaha ini.

Sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya : Sekiranya pemilik asal tidak diketahui nama dan kedudukannya, para ulama memberikan beberapa penyelesaian. Pandangan ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi di mana beliau menukilkan fatwa Imam al-Ghazali seperti berikut: Sekiranya seseorang memiliki suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mencarinya, maka wajib menyalurkan harta tersebut untuk keperluan umat Islam yang bersifat umum, seperti jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam. (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab)

 

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat.
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.

Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):

  • Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan.

(Lihat: Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut: 1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya; 2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau 3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Sekiranya pernah mengambil barang tanpa izin ketika kecil dan kini telah insaf, cara terbaik untuk menggantikannya ialah dengan menganggarkan nilai barang tersebut dan memulangkannya semula kepada pihak pasar raya terbabit. Perkara ini boleh dilakukan melalui perbincangan dengan pihak pengurusan pasar raya. Taubat hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, dan berazam untuk tidak mengulangi kesilapan yang lalu.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 29

message user image