Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Dato’ Mufti. Saya student universiti dan menjalankan aktiviti sapu memggunakan group chat di universiti saya. Saya ingin mendapatkan pencerahan mengenai hukum pendapatan yang diperoleh daripada kerja sapu secara underground (mengambil penumpang secara tidak rasmi tanpa lesen e-hailing).
1. Status Hukum Pendapatan
Adakah pendapatan ini dikira haram, syubhah, atau harus jika perkhidmatan ini dijalankan tanpa lesen tetapi pelanggan membayar secara rela hati?
Adakah fakta bahawa saya menawarkan caj lebih murah berbanding perkhidmatan rasmi mempengaruhi hukum pendapatan ini?
2. Jika Duit Sudah Digunakan
Jika saya sudah menggunakan sebahagian duit hasil kerja ini, apa yang perlu saya lakukan untuk membersihkannya?
Adakah saya perlu menggantikan jumlah yang telah digunakan dengan sedekah atau cukup dengan taubat?
3. Jika Duit Haram Bercampur dengan Duit Halal
Jika sebahagian besar duit saya bercampur antara halal dan haram, bagaimana cara terbaik untuk saya mengasingkannya?
Jika saya tidak pasti jumlah yang haram, adakah cukup sekadar mengeluarkan anggaran tertentu untuk kebajikan?
4. Tanggungjawab dan Kesan kepada Masyarakat
Adakah saya dianggap menzalimi pemandu e-hailing rasmi yang membayar komisen kepada syarikat?
Bagaimana saya boleh memastikan sumber rezeki saya lebih diberkati dan selari dengan syariat Islam?
Saya amat menghargai pandangan dan nasihat daripada pihak mufti. Terima kasih.
Jawapan
Mentaati pemerintah merupakan salah satu perkara yang dituntut oleh syarak. Banyak nas baik dari Al-Quran mahupun Al-Sunnah yang jelas menunjukkan kepada perkara ini. Antaranya adalah firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya : Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.
Ini juga bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a, Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat (pada arahan tersebut). (Riwayat Al-Bukhari)
Berkaitan peraturan membawa penumpang atau e-hailing dan bahasa pasarnya ‘prebet sapu’ adalah jelas kerana profesion ini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya pasca Covid-19. Oleh yang demikian, Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan peraturan-peraturan tertentu bagi memastikan kerjaya ini selamat dan terjamin dari sudut keselamatan pemandu serta penumpang, kadar sewaan dan pengurusan yang berkaitan. Justeru, dengan mengambil saranan ayat al-Quran dan Hadis di atas, ketaatan kepada pemerintah adalah wajib selagi mana ia tidak menjurus kepada kemaksiatan.
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al- Bukhari)
Sekian, terima kasih