Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz, Apakah hukum seorang isteri bermesra dengan anak saudara lelaki nya( anak kepada kakak si isteri ). Bermesra maksud saya berpelukan mesra setelah beberapa minggu tidak berjumpa. Isteri berusia 28 tahun dan anak saudara lelakinya berusia 17 tahun. Apakah hukum jika isteri membenarkan anak saudara lelakinya ini masuk ke dalam rumah kami sewaktu saya tiada di rumah. Hanya mereka berdua sahaja di dalam rumah. Dan apakah hukum jika isteri membenarkan anak saudara lelakinya ini bermalam di rumah kami ketika saya tiada di rumah. Hanya tinggal mereka berdua sahaja di dalam rumah tersebut. Disebabkan kemesraan di antara mereka berdua dan jarak umur yang tidak begitu jauh serta anak saudara kepada isteri yang sedang menginjak usia remaja, wajarkah saya berasa kurang selesa dan khuwatir akan berlaku perkara yang tidak diingini di antara mereka?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, anak saudara lelaki adalah mahram kepada ibu saudaranya. Pengharaman tersebut membolehkan pergaulan dan membuka aurat. Bagaimanapun, ia tetap ada batas-batasnya. Lebih-lebih lagi ketika dalam usia yang terlalu besar cabaran nafsunya. Dalam hubungan adik-beradik lelaki dan perempuan pun, Islam menggariskan akan dipisahkan tempat tidurnya, bagi mengelak perkara yang tidak diingini. Mencegah lebih baik daripada mengubat, berpeluk mesra dan membiarkan berdua-duaan dalam rumah lebih-lebih lagi sehingga bermalam boleh mengundang fitnah yang besar yang perlu dilarang. Islam mencegah berada berdua-duaan kerana syaitan akan menjadi orang yang ketiganya. Iktibar hari ini jelas berlakunya banyak kes sumbang mahram sepertimana yang dipaparkan dalam akhbar. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.