Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum...sy ingin kan penjelasan...sy merupakan seorang balu mempunyai 5 anak. Sebelum arwah suami meninggal dunia, kami mengamalkan raya bergilir..setelah kematian arwah suami, adakah saya perlu meneruskan amalan penggiliran tersebut?. Saya masih mempunyai ibu dan ayah...manakala di sebelah mertua hanya tinggal ibu mertua. Ibu mertua menginginkan saya meneruskan amalan seperti itu, sedangkan ibu dan ayah saya tidak setuju kerana menurut kata mereka saya tak perlu lagi beraya ikut giliran kerana telah kematian suami. Sekian. Terima kasih
Jawapan
Amalan raya bergilir adalah amalan yang baik dan ia merupakan amalan yang dilakukan atas ihsan suami kepada isteri untuk menyemarakan semangat silaturrahmi antara keluarga suami dan keluarga isteri. Ia tidaklah sesuatu yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan, namun ia amat digalakkan bagi mencapai tujuan menyemai dan mengerat hubungi kekeluargaan dalam Islam.
Dari sudut hukum syara, selepas kematian suami, hubungan dengan mertua tidak terputus. Mereka tetap menjadi mertua kita selama-lamanya. Dan dalam menjawab pertanyaan puan ini, perbincangan atau syura bersama mertua secara terbuka, tenang dan jujur adalah antara langkah yang sangat dituntut dan pasti akan dapat mengurangkan salah faham dan buruk sangka antara pihak-pihak yang terlibat. Sikap bertolak ansur atau tasamuh serta berkompromi adalah tindakan yang mungkin boleh puan laksanakan dalam meraikan antara keluarga puan dan mertua. Puan boleh tetap meneruskan amalan raya bergilir tetapi dengan cara yang lebih fleksibel, jika tidak mampu mengikut sepenuhnya, mungkin boleh ikut kemampuan dan keselesaan diri, anak-anak, dan ibu bapa. Utamakan kebahagiaan dan ketenangan dalam kekeluargaan termasuklah bersama mertua. Hubungan silaturahim ini perlu dijaga agar tidak terputus.
Sekian, terima kasih.