Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz, saya ada pertanyaan mengenai talak. Baru-II ini ada perselisihan faham antara saya dan isteri, saya marah dan sebut di dalam group whatsapp keluarga "mulai esok Ina (Bukan nama sebenar) bukan lagi ahli dalam keluarga ini" dan pada waktu tersebut saya ada niat untuk bercerai. Adakah jatuh talak ? mohon pencerahan Ustaz. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, suami menulis di dalam whatsapp: "mulai esok Ina (Bukan nama sebenar) bukan lagi ahli dalam keluarga ini" adalah dikategorikan sebagai lafaz talak secara kinayah. Ia memerlukan niat suami semasa melafazkannya. Ini kerana ayat tersebut membawa makna atau menyerupai talak. Sekiranya suami berniat cerai, maka boleh menyebabkan jatuh talak.
Memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini segera dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih.