BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai jenis talak yang terjadi antara saya dan suami. Pada tarikh 18 November 2023, saya mendapati suami telah bermesej dengan beberapa wanita di satu aplikasi. Kami bertengkar sepanjang malam sehingga subuh. Saya berasa sangat marah ketika itu, dan secara tidak sengaja melafazkan ayat yang sebegini. "Kalau awak curang lagi @ mesej perempuan lain, kita buat hal masing-masing". Suami tidak mengulangi percakapan yang saya sebut tadi. Dan tiada niat bercerai ketika itu. Tetapi saya was-was sama ada suami melafazkan ayat tersebut atau tidak kerana pada ketika itu saya dalam keadaan marah. Tiada saksi lain semasa pertengkaran tersebut. Boleh tuan jelaskan talak lafaz tersebut kategori talak apa? Talak taklik atau kinayah. Kerana apa yang saya faham, talak taklik tidak boleh ada kinayah. Mohon pencerahan daripada pihak tuan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام  ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menurut hukum Islam, kuasa menjatuhkan talak pada asalnya berada pada tangan suami, berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 1:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri kamu, maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddah mereka, dan hitunglah masa iddah itu dengan betul.

Lafaz talak daripada seorang isteri tidak jatuh. Adapun bagi pihak suami, tiada lafaz talak yang disebut secara jelas atau kinayah berdasarkan situasi yang diberikan. Berbincanglah kembali dengan suami adakah dia pernah melafazkannya atau pun tidak, dan sekiranya ada, disyorkan agar isu ini dirujuk kepada Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera supaya mendapat pengesahan yang lebih jelas daripada pihak yang berautoriti kerana pengesahan status talak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 10

message user image