Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.saya ada beberapa persoalan yang ingin saya tanyakan yang antaranya:
1.apakah batasan pakaian yang dikategorikan sebagai pakaian syuhrah.apakah pakaian syuhrah merujuk kepada pakaian yang benar benar pelik atau pakaian yang jarang dilihat manyarakat tempatan juga termasuk pakaian syuhrah.
2.merujuk kepada persoalan 1 apakah pakaian ini termasuk pakaian syuhrah.jika terdapat majlis yang menetapkan etika pemakaian smart casual Dan para hadirin memakai pakaian seperti baju melayu tetapi ada seorang yang memakai seluar formal dan baju batik atau polo shirt apakah itu disebut pakaian syuhrah.
3.apakah berdosa seorang Muslim jika dia jatuh cinta kepada non muslim tetapi hanya sebatas di hati tidak sampai ke perbuatan atau biasa disebut crush.
4.saya ada membaca bahawa ada tangisan yang tidak disenangi Allah seperti tangisan kerana kehilangan sesuatu atau putus cinta.apakah itu benar? dan jika itu benar,jika seseorang menangis kerana hal tersebut apakah dia berdosa.
5.merujuk soalan 4 apakah bersedih dan menangis memiliki hukum yang sama?
6.terdapat larangan bagi kaum wanita supaya tidak melunakkan suara dihadapan ajnabi.apakah batasan antara melunakkan suara dan bertutur secara sopan.
7.merujuk kepada soalan 6,jika seseorang memang memiliki suara yang lembut apakah ia juga termasuk melunakkan suara?
8.merujuk kepada soalan 6,apakah berdosa jika seorang ajnabi mendengar seorang wanita melunakkan suaranya dihadapan ajnabi tersebut padahal si ajnabi hanya bercakap secara normal dan kerana ada keperluan dan juga apakah dosa jika ajnabi tersebut mendengar seorang wanita melunakkan suaranya dihadapan mahramnya seperti suaminya.
9.apakah hukum cerita yang memiliki adegan yang kurang berpatutan untuk ditonton tetapi tema cerita tersebut tidak terkait dengan adegan tersebut.apakah keseluruhan cerita tersebut itu dilarang untuk ditonton atau hanya adegan tersebut.
10.jika seseorang memiliki penyakit yang membuat syahwat meraka mudah naik dan syahwat meraka bangkit melihat watak fiksi lalu mereka bertaubat dan tidak lagi naik syahwat ketika melihat watak fiksi tersebut dan watak fiksi tersebut secara adatnya tidak mecolok mata apakah tetap berdosa melihat watak tersebut walaupun sudah bertaubat dan tidak naik syahwat.
11.apakah hukum seseorang yang memiliki penyakit fetish terhadap benda tertentu sehingga naik syahwat,apakah dia berdosa jika menggunakan benda tersebut kerana benda tersebut ialah barang kegunaan seharian.
sekian terimakasih.
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Memang benar terdapat larangan memakai pakaian syuhrah (bermegah diri). Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah (bermegah), Allah SWT akan memakaikannya pakaian yang hina pada hari kiamat nanti. (Riwayat Ahmad)
Maksud syuhrah atau pakaian bermegah pada hadis ini adalah sama ada memakai pakaian yang tidak diharuskan oleh syarak atau pakaian bertujuan takabbur dan bermegah diri atau memakai pakaian yang pelik daripada kebiasaan supaya dirinya dikenali dan diketawakan untuk menarik perhatian orang ramai.
Oleh itu, mana-mana pakaian yang keterlaluan dan yang berbeza daripada kebiasaan dengan tujuan menarik perhatian orang ramai maka itu adalah pakaian syuhrah yang dilarang.
2. Pakaian smart casual atau baju melayu atau baju batik tidaklah dikira sebagai pakaian syuhrah. Ini kerana ia telah menjadi sebahagian daripada adat pakaian kita di sebuah majlis. Melainkan pakaian smart casual itu berbeza dengan pakaian smart casual yang kebiasaan dengan bertujuan bermegah diri dan menarik perhatian orang ramai.
3. Perasaan suka dan sayang merupakan fitrah setiap manusia. Oleh itu, sekadar perasaan suka kepada seseorang walaupun kepada non-muslim tidaklah membuatkan seseorang itu berdosa. Melainkan dengan perasaan itu boleh membuat kepada maksiat maka itu boleh membawa kepada dosa.
4. Secara asasnya, menangis dan bersedih adalah fitrah manusia. Oleh itu, perbuatan menangis adalah sesuatu yang diharuskan bagi menunjukkan emosi yang sedang sedih. Walaupun begitu, ada keadaan menangis boleh mengundang dosa apabila berlebihan seperti meraung dan meratapi orang yang telah pergi. Begitu juga menangis terhadap sesuatu yang tidak diharuskan seperti menangis yang boleh memudaratkan diri atau menangis kerana hendak melakukan maksiat.
5. Bersedih dan menangis dibenarkan selagi tidak berlebihan.
6. Yang dimaksudkan melunakkan suara adalah suara yang dibuat menjadi lembut sehingga menarik perhatian ajnabi. Adapun bertutur dengan sopan tidaklah dilarang selagi menjaga batasan pergaulan.
7. Tidak termasuk dalam melunakkan suara. Walaupun begitu, sebaiknya seseorang itu hendaklah menjauhkan dirinya dan orang lain daripada fitnah dengan mengeraskan sedikit suara ketika berbicara dengan ajnabi.
8. Perlu difahami perbezaan suara yang lembut dengan melunakkan suara. Melunakka suara secara sengaja sehingga menarik perhatian ajnabi adalah tidak dibenarkan.
9. Hanya adegan tersebut yang dilarang untuk ditnoton. Kecuali cerita tersebut sememangnya tidak baik seperti filem porno atau keganasan maka dilarang melihatnya.
10. Tidak berdosa kerana sudah bertaubat dan selagi watak fiksi tersebut tidak mengundang syahwat.
11. Menggunakan barang kegunaan harian bagi tujuan nafsu dan syahwat adalah dilarang. Akan tetapi jika menggunakannya dengan kegunaan yang betul maka dibolehkan.
Sekian, terima kasih.