Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya baru dapat kerja dan tengah training di syarikat telemarketing yang mempunyai klien dari pihak insurans dan takaful yang bekerjasama dengan pihak bank untuk menghubungi pelanggan dan menawarkan insurans/takaful yang bersesuaian dengan pelanggan. Tapi saya dimasukkan ke campaign etiqa life insurans dan ia adalah insurans konvensional. Jadi persoalan saya adakah sumber pendapatan basic, elaun, komisen dan lain lain adakah ianya halal atau haram?
Jawapan
Secara jelasnya, insuran konvensional adalah haram dan hukum ini tidak terpakai kepada pelanggan semata-mata tetapi juga kepada pekerja yang mencari pendapatan melalui insuran konvensional. Ini kerana kerjasama kepada perkara maksiat (dosa) adalah haram dan tidak dibenarkan sama sekali.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Kesimpulannya, berbincang dengan pihak majikan untuk tidak diletakkan di bahagian insurans konvensional yang jelas hukumnya haram. Sekiranya tidak dibenarkan juga, maka ada baiknya mencari pekerjaan lain.
Daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu telah jelas dan perkara yang haram itu telah jelas. Dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang (samar), tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia. Barang siapa yang menjaga diri dari perkara-perkara samar tersebut, maka dia telah menjaga kesucian agama dan kehormatannya (Riwayat Bukhari)
Dalam situasi yang melibatkan rezeki dan kelangsungan hidup, tidak dinafikan bahawa ujian yang datang menguji antara keperluan duniawi dan tuntutan agama bukanlah sesuatu yang mudah. Namun ketahuilah bahawa setiap pengorbanan kerana Allah tidak akan sia-sia. Allah SWT berfirman dalam surah at-Talaq ayat 2 dan 3:
Maksudnya: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
Setiap langkah yang diambil untuk meninggalkan perkara haram adalah satu bentuk jihad yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah. Kita tidak disuruh terburu-buru, tetapi disuruh berusaha dan berazam untuk keluar dari perkara syubhah dan haram, demi menjaga keberkatan rezeki dan ketenangan jiwa.
Andai masih terpaksa berada dalam bidang ini untuk seketika kerana komitmen hidup, jangan berhenti berdoa dan merancang untuk berpindah ke bidang yang lebih suci daripada unsur riba, gharar dan unsur syubhah. Berbincanglah dengan majikan secara baik, nyatakan hasrat dengan hikmah, dan percayalah rezeki yang halal walau sedikit, lebih membahagiakan berbanding yang haram walau melimpah ruah.
Semoga Allah SWT memberikan jalan keluar yang terbaik buat kita semua, dan menetapkan hati kita dalam keimanan dan ketaqwaan.
Sekian, terima kasih.