Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan,
Mohon pertanyaan saya dapat dirungkai.
Pertama sekali soal Nafkah,
1) Selama perkahwinan bekas suami sediakan hanya tempat tinggal yang bjumlah rm 300 sebulan Dan api air anggaran rm 50 sebulan , selepas seminggu Dari pembayaran beliau kerap meminta duit belanje minyak makan keje nya .. Dan duit peniagaan saya sendiri diberi pada nya. Adakah itu boleh dikira NAFKAH?
2) Selepas penceraian, nafkah yang perlu diberikan edah Dan mutaah.. beliau bekira, duit bantuan yang kerajaan masuk ke akaun bank saya itu dikira NAFKAH edah. Mutaah tidak diberi kerana itu dikira saya mngungkit kata beliau.
3) selama bersama bekas suami ada bhutang dengan family saya, beliau mengatakan itu cerita lama xperlu mngungkit. Tapi, bila hutang saya dengan family beliau wajib dibayar .
Boleh bantu saya jelaskan
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan,
1) Nafkah yang menjadi tanggungajawab suami menyediakannya adalah berdasarkan kepada kemampuan kewangan suami. Firman Allah SWT dalam surah at-Talaq ayat 7:
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
Perbelanjaan yang disediakan oleh bekas suami untuk tempat tinggal RM300 sebulan dan api RM50 sebulan adalah dikira nafkah. Jika kemampuan kewangannya banyak, maka banyaklah nafkah yang bekas suami boleh tanggung, jika sedikit kemampuan kewangannya, maka sedikitlah yang dia mampu tanggung.
2) Nafkah iddah tidak boleh "diswastakan" kepada pihak lain. Duit bantuan kerajaan yang masuk ke akaun puan tidak dikira sebagai nafkah iddah. Bekas suami perlu beri dari duitnya sendiri. Jika puan ingin menuntutnya, boleh tuntut melalui perintah Mahkamah Syariah. Justeru, puan boleh kemukakan permohonan tuntutan nafkah ke Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk urusan tersebut.
3) Setiap hutang tetap wajib dilunaskan. Tiada perbezaannya jika berhutang dengan keluarga sendiri atau keluarga bekas pasangan. Hutang tetap wajib dibayar.
Sekian, terima kasih.