Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Suami saya bersekedudukan dengan seorang janda di rumah janda tersebut. Saya telah menelefon JAIS untuk membuat tangkapan tapi malangnya tangkapan tersebut gagal atas alasan penghuni tidak memberi kerjasama. Selepas kejadian tersebut, suami saya makin berani ke sana atas alasan tiada siapa dapat menghalang mereka dan menghina saya atas kegagalan saya membanteras kegiatan mereka. Apakah hukumnya jika saya tahu suami saya bersekedudukan tetapi gagal membanteras hubungan tersebut?
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Sebuah hadis daripada Abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda :
Yang bermaksud: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)
Dalam hadis di atas menjelaskan kaedah untuk mencegah kemungkaran, dan puan telah berusaha menghubungi Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor untuk mencegah atau membenteras maksiat yang berlaku, bermakna kaedah menggunakan tangan atau kuasa iaitu pihak berkuasa Agama telah puan gunakan, dan dengan lisan pun puan sudah laksanakan yakni dengan menegur suami puan agar tidak terus terusan melakukan perkara yang tidak baik, dan juga pastinya dengan hati kita tidak redha dengan perbuatannya itu. Maka dalam kefahaman hadis ini, puan sudah tidak dianggap berdosa kerana puan telah berusaha untuk membenteras kemaksiatan tersebut dan sekurang-kurangnya selepas puan berusaha dengan sedaya upaya yang ada namun gagal, maka dengan hati tanamkan lah setiap masa perasaan tidak redha dengan kemaksiatan yang berlaku itu.
Dalam masa yang sama, puan jangan putus asa untuk terus berhubung dengan pihak berkuasa Agama, agar suatu masa nanti kesalahan atau maksiat yang berlaku itu dapat dicegah dan dibenteras oleh pihak yang berautoriti dan boleh diambil tindakan yang sesuai dengan peraturan, undang-undang atau enakmen yang berkaitan. Banyakkan doa agar suami puan diberi hidayah oleh Allah SWT dan menyesali atas perbuatan yang beliau lakukan itu.
Sekian, terima kasih.