Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum insurans yang diberikan oleh syarikat bas terhadap penumpang dan pemandu bas sekiranya berlaku kemalangan dan sebagainya? Adakah membeli tiket bas untuk perjalanan adalah haram kerana terdapat unsur-unsur membayar insurans tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, insurans dan tiket bas yang dibeli adalah dua perkara yang berbeza. Insurans adalah tanggungjawab yang perlu disediakan oleh pemilik konsesi syarikat bas tersebut. Jika insurans ini tidak dilaksanakan oleh konsesi syarikat bas, ia adalah menyalahi undang-undang negara sedia ada berkaitan kebajikan penumpang. Malah menjadi tanggungjawab syarikat untuk mencarum dalam insurans yang patuh syariah. Jika syarikat tidak pilih takaful, maka dosanya tidak ditanggung oleh pembeli tiket bas. Tujuan kita mendapatkan perkhidmatan bas bukan untuk mengambil manfaat dari caruman tersebut tetapi manfaat dari perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat konsesi. Maka caruman insurans ini bukan pilihan kita sebagai penumpang. Oleh itu, manfaat menaiki bas tersebut adalah harus untuk diterima. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.