Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt Ustaz/Ustazah,
Saya Puan Hajar dar Putrajaya.
Soalan ini berkaitan hutang arwah ayah saya kepada emak saya. Emak & ayah saya telah bercerai pada tahun 2008. Sewaktu perceraian tersebut, ayah tidak membayar duit edah kepada emak saya.
Sekarang anak2 hendak membayar kembali hutang edah itu dengan menggunakan wang peninggalan arwah. Bagaimanakah pengiraannya sebab nilai duit dahulu tidak sama dengan nilai duit sekarang? Dan perlukah ditambah amaun2 lain kerana hutang ini telah lama?
Sekian, terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, berkenaan nafkah semasa iddah firman Allah SWT dalam surah at-Talaq ayat 6:
Maksudnya : "Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)."
Adalah menjadi kewajipan bagi suami untuk menanggung nafkah isteri yang berada dalam iddah. Namun, jika suami tidak mahu atau enggan menanggung, maka isteri boleh menuntutnya melalui Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, jika isteri menghalalkannya maka ia dikira telah langsai.
Oleh kerana telah bertahun berlalu dan ayah telah pun meninggal dunia, sekiranya ibu puan ingin menuntutnya, hendaklah dituntut menggunakan wang peninggalan arwah ayah sebelum difaraidkan kerana ia termasuk dalam hutang yang mesti dilangsaikan oleh si mati. Namun, kiraannya hendaklah dirujuk kepada pihak Mahkamah Syariah kerana mereka merupakan pihak yang berautoriti dalam menentukan nilai iddah yang boleh dituntut.
Sekian, terima kasih.