Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya pendapat tentang perkahwinan yang tidak direstui oleh ibu dan bapa. Situasi saya, saya seorang lelaki ingin berkahwin dengan anak saudara tiri (ayah saya dan nenek pihak perempuan adalah adik beradik tiri, sama bapa lain ibu). Tetapi pihak ibu bapa saya tidak mahu merestui perkahwinan ini kerana tidak setuju perkahwinan yang melibatkan darah daging sendiri. Ibu sendiri sampai menyumpah sekiranya berkahwin dia doakan hubungan itu gagal dan sengsara. Apa pandangan islam tentang situasi sebegini?
Jawapan
Berdasarkan kepada situasi yang dikemukakan, tiada halangan untuk saudara berkahwin dengan anak kepada sepupu tiri tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 50:
Maksudnya : "Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu"
Ketidaksetujuan pihak yang bukan dalam kalangan wali, tidak memberi kesan kepada kesahan nikah tersebut. Namun begitu, bagi menjamin keharmonian dalam keluarga besar rumah tangga, ibu dan bapa pihak lelaki tidak memberi restu barangkali mempunyai sebab tertentu yang mungkin terdapat kewajaran atau mungkin juga tiada kewajaran. Oleh itu, tuan boleh menilai hal ini menurut pertimbangan tuan.
Berkahwin dalam kalangan zuriat keturunan sendiri yang mempunyai hubungan yang dekat seperti berkahwin dengan sepupu, adalah tidak digalakkan kerana hikmah tertentu antaranya adalah bagi mengembangkan lagi zuriat dan keturunan di samping mengambil kira nasihat perubatan moden tentang risiko penyakit genetik yang meningkat dalam kalangan mereka yang berkahwin dengan keluarga terdekat. Walau bagaimanapun, hubungan kekeluargaan yang diceritakan oleh tuan adalah merupakan hubungan kekeluargaan yang jauh.
Saudara juga boleh hubungi atau merujuk terus perkara ini ke Unit Undang-undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal untuk mendapatkan khidmat nasihat perkahwinan dan kekeluargaan.
Sekian, terima kasih.