Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Suami saya pernah berkahwin secara rahsia dan tidak berdaftar lagi dan mempunyai 2 anak lelaki.
Sebelum bernikah dengan saya, dia ada bersumpah, junjung Al Quran menyatakan dia sudah bercerai dengan isterinya.
Keluarga suami juga turut mengetahui perkara ini.Saya tidak dapat berjumpa dengan wanita terbabit kerana semua merahsiakannya.
Soalan saya : Adakah jatuh talak (sumpah di buat) jika hal sebenar dia masih berstatus suami isteri dengan wanita terbabit?
Apakah tindakan yang perlu saya buat?
Anak2 wanita tersebut berbinkan orang lain.Tapi boleh masuk dalam penama Bantuan STR.
Saya betul2 keliru dan kecewa.Suami dan keluarga suami merahsiakn perkara ini.
Jawapan
1. Seseorang suami yang mengatakan dan mengaku bahawa dia sudah bercerai dengan isterinya maka kenyataan atau pengakuan itu boleh membawa kepada jatuhnya talak. Memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.
2. Adapun pernikahan terdahulu suami puan secara rahsia itu adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 40(1)(a)(b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 dan dia hendaklah melaporkan pernikahan tersebut ke mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya sesuai dengan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
Terima kasih.