Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaykum. Mohon pencerahan.
Suami telah mengucapkan, "Andai kau bagitahu atau tahu orang lain mengetahui hal/isu rumahtangga kita, aku talakkan kau Talak 3."
Suami marah atas sebab saya berkongsi perihal suami kepada adiknya, di mana saya beranggapan hanya orang yang rapat atau kaum keluarganya yang rapat boleh menasihatinya memandangkan saya tak mampu untuk buat sendiri kerana suami adalah seorang yang mudah marah atau naik suara. Bila saya memberitahunya yang saya ada ceritakan kepada adiknya, adakah ini sudah jatuh talak? Suami kata, hanya selain adiknya.
Maka di sini, saya ingin jawapan atau pencerahan, adakah sudah terjatuhnya Talak 3 itu sebab saya memberitahu permasalahan kepada adiknya sedangkan selepas dia mengungkapkan talak itu, baru dia bagitahu hanya selain adiknya.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, ucapan suami iaitu : "Andai kau bagitahu atau tahu orang lain mengetahui hal/isu rumahtangga kita, aku talakkan kau Talak 3." adalah lafaz taklik yang soreh, jelas maksudnya. Oleh kerana suami meletakkan syarat terhadap taklik iaitu hanya selain adiknya sahaja, maka sekiranya isteri melanggar taklik tersebut jatuhlah talak 3 ke atas isteri. Sekiranya isteri tidak melanggar taklik tersebut, maka talak tidak berlaku. Adapun, jika orang lain ketahuan hal/isu rumahtangga puan dan suami, maka perkara ini hendaklah dilaporkan ke pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk diselesaikan. Hanya pihak Mahkamah Syariah sahaja yang mempunyai bidangkuasa untuk membuat pengesahan terhadap perkara tersebut.
Sekian, terima kasih.