Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum W.B.T saya ada soalan mengenai lafaz taklik. Ada 2 situasi. Situasi 1: suami dan isteri bergaduh kerana anak terkena air panas (masing2 menyalahkan satu sama lain) kemudian suami ada menyebut "kalau kau telefon sesiapa malamni aku ceraikan kau talak 1." dalam masa yg sama isteri telahpun membuat panggilan kepada ibunya. Usai saja ucapan tersebut dilafaz, ibu si isteri telah menjawab panggilan tersebut tanpa sempat si isteri mematikan panggilan telefon.
Situasi 2 : suami ada menyebut lafaz taklik seperti berikut "kalau lelaki tu mesej kau dan kau tak jujur, takbagitahu aku, jatuh talak" kemudian dia sebut lagi "kalau kau tak jujur jatuh talak". Keesokan hari, suami ada bertanya kepada isteri perihal seseorang di fb, sama ada isteri kenal atau tidak. Isteri jawab tak kenal. Tapi suami tak puas hati dgn jawapan isteri, suami ugut sehingga akhirnya isteri mengaku kenal. Suami kemudian berkata "kau dah jatuh talak sebab tak jujur dengan aku"
soalan saya, adakah sah lafaz taklik yg disebut oleh pihak suami bagi kedua-dua situasi tersebut? Situasi kedua agak memeningkan kerana pihak suami bercakap dalam keadaan marah yang tidak terkawal sehingga tidak difahami dan tidak yakin apakah lafaz sebenar yg disebut. Mohon pencerahan daripada pihak tuan/puan berkenaan masalah ini. Terima kasih
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Lafaz tersebut adalah lafaz taklik, dan sekiranya isteri melakukan apa yang dilafazkan oleh suami, maka ia akan menyebabkan talak jatuh.
2. Begitu juga dengan lafaz yang kedua, sekiranya ;
a) dua lafaz itu iaitu "kalau lelaki tu mesej kau dan kau tak jujur, tak bagitahu aku, jatuh talak" dan "kalau kau tak jujur jatuh talak" adalah lafaz yang berasingan, yakni ada dua lafaz taklik, bermakna lafaz yang pertama sekiranya isteri mesej lelaki itu dan isteri tak jujur sebab tak bagitau suami maka jatuh talak dan lafaz yang kedua, kalau isteri tak jujur maka jatuh talak. Kalau dua lafaz itu dengan maksud yang berasingan, maka perbuatan isteri tidak jujur apabila suami bertanya tetang lelaki dalam FB itu, boleh menyebab jatuh talak kerana ia merujuk kepada taklik yang kedua itu.
b) Adapun sekiranya lafaz kedua iaitu "kalau kau tak jujur jatuh talak" adalah ta'kid atau penguat atau penegasan kepada lafaz yang pertama "kalau lelaki tu mesej kau dan kau tak jujur, tak bagitahu aku, jatuh talak", maka perbuatan isteri tidak jujur apabila suami bertanya tetang lelaki dalam FB itu, tidak menyebabkan jatuh talak, kerana lafaz yang boleh menyebabkan jatuh talak adalah kalau lelaki itu mesej isteri dan isteri tak jujur dengan tidak memberitahu suami tentang perkara itu ,maka talak boleh jatuh ketika itu.
Sebagai muhasabah bersama, dalam bab perceraian ayat atau perkataan yang dilafazkan oleh suami amatlah penting untuk disahkan, diingat dan dipastikan secara terperinci kerana satu perkataan yang diungkap boleh memberi kesan kepada ketetapan hukum samada talak jatuh atau sebaliknya.
Oleh yang demikian, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Terima kasih.