Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Bagaimana cara menyambut Aidilfitri menurut Islam?
2. Apa hukum orang yang berlebih-lebihan dalam membuat persiapan raya?
3. Bolehkah seseorang itu mengucapkan Selamat Hari Raya kepada orang bukan Islam?
4. Apakah hukum memberi dan menerima duit raya?
5. Bagaimana cara berpakaian di hari Raya Aidilfitri/AidilAdha menurut Islam?
6. Adakah kita diwajibkan untuk menziarahi kubur-kubur orang Islam ketika sambutan Aidilfitri?
Jawapan
Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al Baqarah ayat 185:
“… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.
Merujuk kepada soalan,
1. Cara untuk menyambut perayaan Eidulfitri menurut Islam adalah dengan mengikut sunnah-sunnah Rasulullah S.A.W iaitu menghidupkan malam dengan ibadah, mandi sunat sebelum mengerjakan solat sunat Eidulfitri, mengemaskan diri dengan mencukur bulu-bulu, mengetip kuku dan merapikan janggut, memperbanyakkan takbir selepas terbenam matahari pada akhir ramadhan sehingga sebelum solat sunat Eidulfitri, memakai pakaian yang terbaik serta berwangi-wangian, bersarapan dahulu dan kemudian mengerjakan solat sunat Eidulfitri.
2. Menyambut secara berlebih-lebihan sehingga mendatangkan pembaziran adalah haram di sisi Islam.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas”. (Riwayat al-Bukhari)
3. Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala kebaikan. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia, tanpa sebarang perbezaan. Ini berdasarkan dengan dalil yang umum dan jelas:
Maksudnya: “…dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 83)
Dibolehkan mengucap selamat hari raya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hariraya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya.
4. Hukum pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah HARUS hukumnya. Ini bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung mengunjung.
5. Cara berpakaian semasa hari raya Aidilfitri adalah dengan menutup aurat. Aurat dari segi bahasa membawa maksud keaiban. Menurut syara’ aurat bermaksud bahagian-bahagian tertentu pada anggota badan manusia yang wajib ditutupi daripada pandangan orang yang diharamkan melihatnya. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan janganlah mereka (perempuan) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka, menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”.
6. Kita tidak diwajibkan untuk menziarahi kubur ketika hari raya Eidulfitri, namun menziarahi kubur ketika hari raya Eudulfitri adalah sunat mengikut pendapat yang sahih. Berdasarkan hadis daripada Abdullah Bin Buraidah RA dan Abu Hurairah RA bahawa Nabi bersabda :
Maksudnya : "Ziarahilah kubur, maka sesungguhnya ia boleh mengingatkan kepada kematian".
Sekian, terima kasih.