Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya & keluarga akan berpindah ke Wilayah Neuquen di Argentina kerana urusan kerja dan akan berada di sana untuk beberapa tahun. Setahu saya, di sana (wilayah Neuquen, Argentina) tiada masjid di situ. Soalan saya: 1) Apakah hukum kepada saya & keluarga untuk Solat Jumaat & Solat Fardhu yang lain kerana tiada Masjid dan saya tidak pasti berapa ramai penduduk islam di Wilayah tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, permasalahan terbahagi kepada dua iaitu solat fardhu dan solat jumaat. Bagi permasaalahan solat fardhu 5 waktu, tuan boleh laksanakan solat dirumah secara berjema’ah bersama keluarga atau sekurang-kurangnya solat bersendirian di rumah, kerana solat fardhu tidak disyaratkan berjama’ah dan tidak juga disyaratkan mesti dilaksanakan di masjid. Asalkan memiliki tempat yang bersih dan mengetahui arah kiblat, itu sudah memadai untuk solat fardhu atau sunat. Bagi solat jumaat , disyaratkan ianya didirikan secara berjema’ah dan para Fuqaha’ berbeza pandangan berkaitan bilangan jema’ah yang disyaratkan untuk mendirikan solat jumaat ; (1) Disyaratkan untuk mendirikn solat jumaat adalah tidak kurang dari 40 orang yang wajib mendirikannya. Pendapat Mazhab Syafie dan Hambali. (2) Disyaratkan untuk mendirikn solat jumaat adalah tidak kurang dari 12 orang yang wajib mendirikannya. Pendapat Mazhab Maliki. (3) Memadai dengan seorang imam dan 3 orang makmum bersamanya. Pendapat Mazhab Hanafi. Syarat wajib mendirikan solat jumaat adalah; (i) Lelaki (ii) Bermukim (tidak bermusafir melebihi 2 marhalah) (iii) Sihat tubuh badan (iv) Merdeka ( bukan hamba) Sekiranya masyarakat muslim yang wajib solat jumaat tidak mencukupi 40 orang, maka harus mengikut pandangan mazhab yang lain untuk mendirikan solat jumaat. Jika masih menghadapi kesukaran dan tidak mampu untuk mendirikannya, maka gugur solat jumaat dan wajib dilaksanakan solat zohor. Adalah dicadangkan supaya pihak tuan mendapatkan maklumat berkaitan NGO Muslim Neuquen atau di wilayah yang berdekatan melalui pihak Kedutaan Besar Malaysia di Argentina. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.