BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Sudah berumah tangga semasa sudah berumur, tapi sejak awal perkahwinan suami saya seperti tidak bernafsu. Saya ingin kan zuriat tetapi suami sentiasa mencari alasan untuk tidak memberi nafkah batin. Saya sudah cuba utk berbincang tetapi suami tidak mahu berbincang dan di tmpt tinggal saya tiada majlis agama atau keluarga Islam yg saya kenal untuk saya boleh rujuk keadaan ini.

Suami saya juga tidak bersetuju utk mencuba IVF.

Pertanyaan saya:

  • Dalam keadaan ini bolehkan saya berusaha untuk mendapatkan zuriat dengan menggunakan sperma yg suami saya keluarkan sendiri - itu sahaja cara yg dia mampu untuk lakukan - dia tak mampu nak keluarkan dengan bantuan saya
  • Atau saya hanya boleh berpisah sekiranya tidak mampu bersabar dengan keadaan

 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, adalah harus suami berbuat demikian (menggunakan sperma yang suami keluarkan sendiri) memandangkan itu sahaja cara yang dia mampu lakukan sebagaimana puan nyatakan di atas. Justeru, cadangan ini bolehlah diusahakan untuk kehamilan puan. Ia sebagai salah satu ikhtiar dalam perkahwinan untuk mendapatkan zuriat.   

Terdapat 2 kaedah iaitu:

a) Bayi Tabung Uji (1982)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983 telah membincangkan Bayi Tabung Uji. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Bayi Tabung Uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara 'terhormat' adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah bayi tabung uji itu adalah tidak sah.

2. Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.

3. Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara 'terhormat'. 

 

b) Pencantuman Benih Untuk Mendapatkan Zuriat - 2 (2003)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 Mei 2003 telah membincangkan Pencantuman Benih Untuk Mendapatkan Zuriat. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya dibuat pencantuman dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah haram.

2. Hukum mencantumkan benih yang diambil dan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah harus.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 18

message user image