BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya inginkan oenjelasan berkenaan nafkah tertunggak.

Jika suami meninggal dan tidak pernah memberi nafkah selama tempoh perkahwinan, adakah nafkah tersebut dianggap hutang?

Dan jika hutang, bolehkah si isteri menuntut nafkah yang tertunggak tersebut?

Dan bagaimana pula dengan pembahagian duit kwsp arwah suami? Si isteri tidak mempunyai anak dengan arwah suami.

Terima kasih


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Apabila seseorang meninggal dunia, hartanya perlu diagihkan kepada para waris menurut kaedah faraid setelah terlebih dahulu diselesaikan tanggungjawab terhadap harta pusaka seperti pengurusan jenazah, penyelesaian hutang, dan pelunasan wasiat. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَا أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ، فَمَنْ تُوُفِّيَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ فَعَلَيَّ قَضَاؤُهُ، وَمَنْ تَرَكَ مَالًا فَهُوَ لِوَرَثَتِهِ

Maksudnya: Aku adalah lebih penting bagi orang-orang Mukmin daripada diri mereka sendiri. Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan masih berhutang dan tidak dapat diselesaikan, maka kami akan melunaskannya. Sesiapa yang meninggalkan harta maka serahkan kepada warisnya. (Riwayat al-Bukhari) 

Justeru, sekiranya seorang suami meninggal dunia tanpa pernah menunaikan kewajipan nafkah terhadap isterinya sepanjang tempoh perkahwinan, maka nafkah yang tidak diberikan itu boleh dianggap sebagai hutang. Namun begitu, tuntutan ini mestilah dibuat sebelum pusaka dibahagikan kepada para waris kerana pembayaran hutang si mati termasuk dalam perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu menurut hukum Islam. Puan boleh membuat tuntutan nafkah kepada Mahkamah Syariah bagi menentukan jumlah nafkah yang boleh dituntut.

Berkaitan dengan wang simpanan KWSP arwah suami pula, penting untuk difahami bahawa penamaan dalam KWSP bukanlah suatu bentuk pewarisan sebaliknya individu yang dinamakan hanyalah pemegang amanah untuk mengurus dan mengagihkan wang tersebut kepada waris-waris yang berhak mengikut sistem faraid. Demikian itu, jika puan sebagai pemegang amanah perlu menyerahkan bahagian harta kepada waris-waris yang berhak. Disarankan agar puan merujuk kepada pihak perunding harta pusaka supaya urusan pengagihan harta tersebut dapat diuruskan dengan sebaik mungkin.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 13

message user image