Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ingin bertanya berkenaan anak angkat. Saya telah mengambil seorang anak angkat perempuan dan sehingga kini masih gagal menyusu bayi tersebut. Jadi saya bercadang agar adik ipar perempuan saya menyusu anak angkat saya itu. Soalan saya adakah status ibu susuan adik ipar saya menjadikan saya dan suami mahram kepada anak angkat saya itu.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, jika yang dimaksudkan adik ipar itu adalah isteri kepada adik lelaki puan, maka hubungan antara anak angkat (perempuan) dengan suami puan adalah bukan mahram. Anak angkat itu hanya menjadi mahram kepada ibu susuan dan suaminya serta adik-beradik ibu susuannya ke atas sahaja. Istilahnya anak angkat itu dengan suami puan jadi pakcik ipar.
Adapun, jika yang dimaksudkan adik ipar perempuan itu adalah adik kepada suami puan, maka statusnya adalah mahram antara suami puan dengan anak angkat tersebut. Istilahnya seperti mahram antara pakcik dan anak buah sendiri. Maksudnya, anak angkat itu menjadi mahram dengan ibu susuannya (adik ipar) dan suaminya serta adik-beradik ibu susuannya ke atas.
Walaubagaimanapun, untuk keterangan lanjut berkenaan perkara ini, puan boleh hubungi Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal dan permohonan pendaftaran bagi anak angkat yang disusukan (My Radha'ah).
Sekian, terima kasih.