BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya berkaitan taklik. Saya dan suami dalam proses menunggu pengesahan lafaz taklik di mahkamah syariah. Soalan saya

1. Bolehkah saya berbaik dalam tempoh masa menunggu ?

2.Adakah kami boleh berhubungan seperti suami isteri semula?

3. Apabila sidang berlangsung, adakah saya akan ditanya bila terakhir kami berhubungan?

 Jawapan pihak tuan amatlah saya hargai.

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Tiada masalah sekiranya puan dan suami ingin berbaik semula semasa tempoh menunggu pengesahan daripada mahkamah. Sekiranya puan dan suami telah berazam untuk berbaik semula, adalah lebih baik untuk suami puan melafazkan lafaz rujuk bagi memastikan tiada keraguan untuk bersama semula sebagai suami isteri dengan syarat puan masih dalam talak yang boleh dirujuk oleh suami. Perbuatan rujuk ini adalah sebagai suatu kaedah berhati-hati sekiranya taklik jatuh, tetapi sekiranya taklik tidak jatuh maka rujuk itu tidak memberi apa-apa kesan terhadap perkahwinan puan. Sekiranya puan ingin maklumat lanjut, puan dan suami boleh merujuk perkara ini ke mana-mana Pejabat Agama Islam yang berhampiran dengan tempat tinggal puan.

2. Sekiranya puan dan suami telah berbaik semula dan suami melafazkan rujuk sebagaimana yang dinyatakan dalam jawapan 1, maka puan dan suami boleh hidup dan berhubungan sebagai suami isteri.

3. Ia, lazimnya pihak hakim akan bertanya bila kali terakhir pasangan melakukan hubungan kelamin, kerana ia ada kaitan dengan penetapan tempoh iddah sekiranya talak itu jatuh.

والله أعلم بالصواب

Terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 17

message user image