Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam Tn/Pn yang dihormati, Adakah akan jatuh talak sekiranya suami dipaksa untuk menandatangan satu surat yang menyatakan bahawa sekiranya dia melanggar peraturan yang telah dipersetujui bersama maka akan jatuhlah talak. Sedangkan dia langsung tidak berniat untuk menceraikan isteri. Dia hanya menandatangani surat tersebut untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Mohon dapat membantu dengan segera. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, apabila suami mendatangani surat perjanjian bersama maka, perlu dipastikan dua perkara berikut: 1. Sekiranya sebelum menandatangani surat tersebut, pihak suami membaca isi kandungan surat tersebut dengan berlafaz/ bersuara yang jelas dilafazkan, maka sekiranya pihak suami melanggar perjanjian tersebut, maka boleh membawa kepada jatuh talak. 2. Tetapi, sekiranya suami tidak membaca dengan berlafaz, hanya membaca di dalam hati dan diiringi dengan niat talak, maka jika dilanggar boleh membawa kepada jatuh talak. Akan tetapi, sekiranya suami tidak ada berniat untuk mentalakkan isteri, hanya untuk mengelakkan daripada situasi rumahtangga menjadi semakin teruk, maka tidak jatuh talaknya. Walau bagaimanapun, perkara ini perlu dilaporkan dan dibincangkan di Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran tempat tinggal, kerana keputusan bagi pengesahan talak adalah daripada Hakim Syarie. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.