Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum
Maaf, saya nak tanya tentang faraid harta. Boleh jelaskan tak.
Saya ada 4 orang adik beradik termasuk saya semua lelaki. Kami 4 beradik adalah anak peneroka felda. Ibu kandung kami telah meninggal dunia. Kemudian ayah kami berkahwin lagi dengan seorang janda yang mempunyai 2 orang anak (1 lelaki dan 1 perempuan). Ayah dengan ibu tiri kami tiada memperolehi anak. 2 bulan yang lalu ayah kandung kami telah meninggal dunia. Saya dan adik beradik yang lain termasuk ibu tiri bersetuju melantik abang sulung saya sebagai pemegang amanah untuk menguruskan tentang rumah, ladang dan bayaran hasil ladang seperti yang disarankan oleh pihak felda.
Untuk faraid hasil ladang, adakah ibu tiri kami layak mendapatnya walaupun dia berkahwin lagi setelah kematian ayah kami?
Soalan kedua, jika ibu tiri kami meninggal dunia. Adakah adik beradik tiri kami berhak untuk mendapat bahagian faraid daripada ibu tiri kami?
Terima kasih dan harap boleh dijelaskan atas peroalan saya.
Jawapan
Merujuk kepada fakta kes yang dikemukakan serta bagi menjawab persoalan yang diutarakan, ibu tiri tuan layak mendapat hasil felda walaupun dia berkahwin lain setelah kematian ayah tuan. Sekiranya ibu tiri tuan telah meninggal dunia, waris-waris ibu tiri tuan berhak mewarisi hasil felda dari bahagian ibu tiri tuan.
Tanah felda tertakluk di bawah akta tanah berkelompok. Bagi memudahkan pengurusan harta arwah ayah, dicadangkan agar pihak tuan dan adik-beradik membuat penebusan bahagian ibu tiri ke atas tanah felda tersebut berdasarkan nilaian yang telah dipersetujui. Ia dapat mengelakkan harta pusaka bahagian ibu tiri diwarisi oleh waris yang tiada kaitan dengan pihak tuan.
Untuk penjelasan lanjut sila dapatkan khidmat nasihat daripada pihak FELDA dan juga Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri berhampiran dengan tempat tinggal, jika di Selangor boleh ke Majlis Agama Islam Selangor.
Sekian, terima kasih.