Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
BISMILLAH Assalamualaikum dan selamat sejahtera, saya tujukan soalan ini kepada pihak yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bab jual beli emas. Soalan saya adalah apakah hukum apabila saya sebagai pembeli, membeli emas akan tetapi menggunakan platform seperti apps Public Gold secara online dan melakukan transaksi secara bank in secara online juga. Kemudian, adakah jumlah emas yang ditunjukkan dalam app itu adalah sah untuk saya simpan seperti duit simpanan di dalam akaun bank? Mohon pencerahannya dan terima kasih kerana sudi menjawab.
Jawapan
Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas, dan membuat keputusan, antara lain seperti berikut:
“Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:
Dalil bagi kes ini ialah hadis daripada Ubadah r.a, Rasulullah SAWT bersabda:
Maksudnya: Jika barang-barang ini berbeza, juallah mengikut kehendak kamu selagimana ia dilakukan dengan tangan dengan tangan. (Riwayat Muslim)
Manakala Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami bagi Rabitah al-Alam al-Islami kali ke-11 yang bersidang di Makkah pada tahun 19-26 Februari 1989H membincangkan isu taqabudh hakiki dan hukmi memutuskan bahawa dokumentasi transaksi dalam bentuk resit dan rekod akaun boleh diterima sebagai salah satu bentuk taqabudh yang sah dan diterima dalam Islam.
Kesimpulannya, apabila emas tersebut sudah didepositkan ke dalam akaun pembeli dan direkodkan di dalam sistem dan resit, yang mana pembeli boleh bila-bila masa, mengeluarkan emas tersebut dengan kuantiti berdasarkan dalam majlis akad atau kontrak, maka penyerahan sudah dianggap sempurna. Maka sah akad jual beli emas secara atas talian jika mematuhi syarat ini.
Sekian, terima kasih