Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bolehkah ambil income dari Facebook? ada individu yang membuat kenyataan bahawa tidak boleh ambil gaji / income dari Facebook disebabkan owner Facebook membantu israel.
Jawapan
Sebuah hadis daripada al-Nu’man bin Basyir, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas. (Riwayat al-Bukhari)
Hukum menjana pendapatan daripada apa-apa medium media sosial adalah dibenarkan selagi mana ia mematuhi syariat Islam. Rasulullah SAW juga pernah melakukan muamalat atau jual beli dengan orang bukan Islam sepanjang hayat baginda. Diriwayatkan dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi secara hutang dan mencagarkan baju baginda sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW. (Riwayat Muslim)
Berkenaan dengan isu boikot disebabkan syarikat ini mempunyai hubungannya dengan Isreal, maka sekiranya ini lah satu-satunya medium yang boleh digunakan untuk berniaga, ia tiada masalah. Namun sekiranya ada pilihan yang selain Facebook, maka ia digalakkan sebagai langkah solidariti atau kesatuan atas jenayah perang yang dilakukan oleh Israel termasuk rakan atau syarikat yang mempunyai hubungan rapat. Namun, ia tidak membawa kepada keharaman sumber pendapatan yang dijana melalui Facebook.
Sekian, terima kasih