BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Asalamualaikum mufti selangor. Saya ingin bertanya, saya mempunyai nenek yang sakit dan tidak boleh berjalan. Hanya baring dan boleh duduk. Adakah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang seorang cucu untuk mengingkatkan dan membantu nenek untuk solat fardhu atau ia adalah tanggungjawab kepada anak-anaknya. Saya hanya mampu untuk ingatkan pada malam hari kerana saya ada kuliah sehingga petang. Ibu dan ayah pula sibuk dengan perkerjaan jadi pada siang hari hanya atuk sahaja yang ada dan atuk tak larat untuk bantu nenek saya solat. Nenek juga pakai lampin jadi kene tunggu ibu pada waktu malam untuk tukar. Adakah boleh untuk nenek saya jamak atau qasar kan solat? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya anak-anak mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa yang tidak akan putus sama ada ketika mereka masih hidup mahupun telah meninggal dunia. Berkaitan masalah hukum menjamakkan solat secara taqdim ataupun ta'khir terhadap orang yang sakit, adalah diharuskan sekiranya disebabkan keuzuran yang menimbulkan kesukaran kepadanya untuk melaksanakan solat pada waktunya. Hal ini disebutkan oleh Syeikh Zainuddin Al-Malibariy menyebut di dalam kitabnya:

‌يجوز ‌الجمع ‌بالمرض ‌تقديما ‌وتأخيرا على المختار ويراعي الأرفق فإن كان يزداد مرضه كأن كان يحم مثلا وقت الثانية قدمها بشروط جمع التقديم أو وقت الأولى أخرها بنية الجمع في وقت الأولى وضبط جمع متأخرون المرض هنا بأنه ما يشق معه فعل كل فرض في وقته 

Maksudnya: Dibolehkan untuk menjamakkan solat kerana sakit, sama ada jamak taqdim atau jamak ta’khir, menurut pendapat yang terpilih, dan hendaklah diambil kira mana yang lebih memudahkan (bagi pesakit). Jika sakitnya bertambah teruk seperti demam yang semakin kuat pada waktu solat kedua maka hendaklah dia menjamakkan solat dengan jamak taqdim, dengan syarat-syarat jamak taqdim. Atau jika sakitnya bertambah pada waktu solat pertama, maka hendaklah dia menjamakkan dengan jamak ta’khir, dengan niat jamak pada waktu solat pertama. Golongan yang terkemudian mendefinisikan sakit dalam konteks ini sebagai keadaan yang menyebabkan kesukaran untuk menunaikan setiap solat pada waktunya. 

Kesimpulannya, sebagai seorang cucu membimbing nenek solat adalah termasuk dalam perkara kebaikan yang boleh dilakukan, sekadar yang mampu. Sekiranya melibatkan hari bekerja, maka boleh membantunya pada waktu malam ketika pulang kerja, atau pada waktu asar dengan membantunya berwuduk untuk solat yang dilakukan secara jamak ta'khir dengan solat Zohor. Bantuan ibadat ini dilakukan setakat kemampuan kita. Ini termasuk dalam amalan amar makruf dan nahi mungkar. Firman Allah SWT di dalam surah al-Imran ayat 104 yang bermaksud: 

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Selain itu, jika nenek tuan masih ada tamyiz/berakal, maka masih diwajibkan baginya untuk solat dan diharuskan bagi nenek tuan menjamakkan antara dua solat dalam satu waktu disebabkan sakit yang menyukarkan untuk solat pada waktunya, namun tidak boleh diqasarkan solat tersebut kerana syarat bagi qasar mestilah berada dalam keadaan bermusafir. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 8

message user image