Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ada pertanyaan,adakah sah talak saya kepada isteri sekiranya saya redha & menarik balik apa yang saya katakan sebelom itu tanpa pengetahuan isteri.Saya bergaduh besar dimana isteri saya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri kepada suaminya serta menolak ajakkan bersama banyak kali.Akibat dari itu,saya terlalu marah dengan mengatakan pelacur yang ada suami tetapi jugak melayan suaminya.Saya letakkan syarat jatuh talak 3 jika keluar dari rumah sebelom saya ke tempat kerja.Sesudah sampai ditempat kerja Dan merasa lega daripada amarah saya menyesal dan menarik semula apa yang saya katakan sebab merasakan jika isteri terpaksa keluar mencari makanan.Saya ada bertanya kepada isteri betul tidak dia ada keluar dari rumah,dia kata ada.Apakah sah talak saya kepada isteri biarpon tidak mengetahui saya sudah tarik balik.
Jawapan
Secara umum cerai atau talak taklik bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak. Seperti ucapan suami: "kalau kau keluar rumah jatuh talak tiga" atau sebagainya. Kesannya adalah bila isteri melakukan perbuatan tersebut, maka boleh menyebabkan jatuhnya talak dan taklik yang telah dilafazkan itu juga tidak boleh ditarik balik.
Walaubagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.
Sekian, terima kasih.