Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya tentang harta pusaka. Apabila ayah saya meninggal dunia, rumah pusaka telah ditukar nama kepada seorang anak dengan anggapan mudah untuk diuruskan nanti. Setelah ibu meninggal.. penama menyatakan semasa hayat ibu menyuruh beliau tinggal di rumah pusaka dan telah memberi rumah itu kepadanya tanpa pengetahuan adik beradik lain. Oleh itu, Penama beranggapan rumah tersebut telah menjadi miliknya. Apakah hukumnya ustaz, adakah adik beradik yang lain masih ada hak untuk meminta difaraidkan rumah tersebut? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada penyataan yang dikemukakan oleh puan, rumah tersebut merupakan harta pusaka arwah ayah yang perlu dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. Walau bagaimanapun, pihak waris telah meletakkan nama seorang anak dengan anggapan mudah diuruskan nanti yang juga boleh dianggap sebagai pentadbir harta pusaka tersebut.
Oleh yang demikian, waris-waris si mati masih lagi berhak terhadap harta pusaka ayah. Sebarang keputusan ke atas harta pusaka tersebut perlulah mendapat kesepakatan ahli waris yang berhak bagi mengelakkan memakan harta yang batil.
Sekian, terima kasih.