Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya nak tanya. Maaf kalau rumit sikit. Jadi ada situasi ni, contoh, seorang ni, dia buat dosa, dalam situasi ni, dia dengar muzik (orang ni ikut mazhab lain dan mazhab tu mengharamkan muzik sepenuhnya). Dia sedar dosa tapi dia still dengar jugak. Sampai kadang dia dengar lagu2 yang ada unsur kufur dan syirik. Dan kadang dia macam setuju dengan lirik lagu tu(waktu tu takde niat dia pun nak sampai jadi murtad) tapi lepas baca komen yang tegur pasal lirik tu, dia pun sedar dan dia tak pikir sangat pun, dia cuma anggap yang dia takde maksud nak mensyirikkan Allah pun. Sekarang, dia rasa bersalah. Tapi dia masih susah nak tinggalkan muzik, tapi dia dah banyak minimalkan dari dulu. Jadi soalan saya 1. Boleh jatuh murtad orang yang beriman dan percaya kepada lirik yang syirik dan kufur. Dalam situasi dia ni, dia dengar satu lagu tu dengan lirik "money is the reason we exist, everybody knows that its a fact", mula-mula dia just rasa rentak lagu tu catchy, tapi pernah terdetik dalam hati dia macam memang duit ni penting, tapi dia tak sampai pikir duit ni tuhan ka apa. Lepas dia baca komen yang kata god is the reason we exist, waktu tu macam baru dia ada kesedaran sikit.
2. Nak taubat dari dosa Ni, kena tinggalkan dosa sepenuhnya. Andai kata sebelum ni dia betul2 jadi murtad, dan sekarang dia masih belum sepenuhnya boleh tinggalkan muzik, adakah taubat dia tak diterima?
Jawapan
Sebelum menjawab soalan yang diajukan, perlu difahami terlebih dahulu bahawa hukum bermain alat muzik atau mendengarnya adalah perkara yang dikhilafkan oleh ulama dan berbeza hukumnya mengikut kepada situasi dan alat muzik. Walaupun begitu, dengan hanya mendengar muzik semata tidak akan sampai menyebabkan seseorang itu jadi syirik atau murtad. Kecuali bagi mereka yang mendengar lirik lagu yang ada kaitan dengan perkara yang syirik lalu mengimaninya baru boleh membawa kepada rosaknya akidah.
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Jika sekadar mendengar lagu yang ada unsur syirik tanpa percaya dan berpegang (beriktiqad) dengannya, maka adalah dilarang, tetapi tidak membuatkan pendengarnya murtad. Adapun bagi mereka yang percaya dan berpegang dengan kepercayaan lagu tersebut, maka dikhuatiri ia boleh merosakkan akidah dan hendaklah bertaubat.
2. Dalam situasi ini, taubat beliau adalah daripada mendengar lagu-lagu yang mempunyai unsur syirik. Jadi, jika beliau masih mendengar muzik yang tiada unsur syirik maka ia tidak menjejaskan taubatnya. Walaupun begitu, menjauhkan diri daripada perkara yang dapat melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT adalah sangat dituntut.
Sekian, terima kasih.