Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
asalamulaikum ustaz
saya inggin bertanya isteri saya baru meninggal dunia,
ingin bertanya tentang kiraan harta faraid
1) sekarang tingal hanya saya (suami) anak perempuan kami (tiga orang) ibu aruwah dan adik lelaki aruwah , aruwah telah meningal kan harta kwsp, rumah, emas sebanyak anggaran 500k berapa kena faraid bahagian duit tersebut siapa yang layak
2)selepas pembahagian itu adakah di zakat kan dahulu atau bayar hutang aruwah dahulu
3) adakah khairat kematian dengan pampasan syarikat granduiti aruwah perlu kena faraid
sekian harap dapat details terima kasih...
Jawapan
Merujuk kepada situasi yang dikemukakan dan fakta kes yang diterima melalui panggilan telefon, pihak tuan boleh rujuk sebagaimana jawapan berikut:
Soalan 1 :
Bil. | Senarai Waris | Bahagian | Bahagian | Jumlah (RM 500,000.00) |
---|---|---|---|---|
1. | Suami | 1/4 | 9/39 | RM 115,384.62 |
2. | Ibu | 1/6 | 6/39 | RM 76,923.08 |
3. | Anak perempuan | 2/3 ÷ 3 | 8/39 | RM 102,564.10 |
4. | Anak perempuan | 2/3 ÷ 3 | 8/39 | RM 102,564.10 |
5. | Anak perempuan | 2/3 ÷ 3 | 8/39 | RM 102,564.10 |
6. | Saudara seibu sebapa lelaki | Asobah | 0 | RM 0.00 |
Soalan 2 : Harta pusaka si mati perlu dibayar hutang-hutang si mati setelah ditolak kos-kos pengurusan pengebumian jenazah dan harta pusaka si mati tidak perlu dizakatkan melainkan sekiranya diketahui terdapat tunggakkan atau hutang zakat yang belum dibayar.
Soalan 3 : Khairat kematian tidak perlu dibahagi secara faraid kepada ahli waris. Ahli keluarga boleh membelanjakan serta menggunakan wang khairat kematian tersebut untuk kegunaan pengurusan jenazah si mati atau ke arah kebaikan atau menyara makan minum keluarga si mati yang bertujuan untuk meringankan beban keluarga si mati.
Untuk mendapatkan maklumat berkaitan perancangan harta pusaka, tuan boleh merujuk ke bahagian Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor bagi khidmat nasihat yang lebih tepat.
Sekian, terima kasih.