Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya Farah. Keluarga saya terdiri daripada ibu, bapa, saya dan seorang adik lelaki. Datuk dan nenek kedua-dua belah telah lama meninggal dunia. Saya dan adik lelaki saya sama-sama masih belum berkahwin. Saya seorang wanita bekerja tetap dan saya baru menetap di rumah sendiri sejak Disember 2024 semasa ibu saya sakit (saya bawa ibu tinggal di rumah saya kerana beliau baru menjalani pembedahan usus dan perlukan persekitaran bersih tanpa bulu haiwan peliharaan).
Pada 20 Januari 2025 yang lalu, ibu saya telah meninggal dunia (advanced endometrial cancer). Sepanjang kehidupan beliau, saya membantu menguruskan duit beliau bagi tujuan pembayaran komitmen bulanan. Selepas pemergian beliau, saya masih memegang duit-duit simpanan peninggalan beliau, termasuk duit khairat kematian yang telah saya tuntut di bank, duit simpanan dan lain-lain. Saya gunakan untuk urusan komitmen bulanan yang masih perlu dibayar pada bulan Februari, kemudian duit tersebut digunakan untuk urusan-urusan lain sehingga ke hari ini. Perkara ini dilakukan atas persetujuan bapa dan adik lelaki saya. Jika adik lelaki saya perlukan duit maka dia akan minta pada saya.
Namun, saya bimbang jika perkara ini menjadi isu yang timbul pada kemudian hari dengan persoalan perlu difaraid. Saya masih menyimpan baki wang selepas membayar hutang ibu saya. Saya juga bakal mendirikan rumah tangga dan ibu saya telah memberitahu saya bahawa selain bapa, beliau juga menyimpan wang utk majlis perkahwinan saya (tidak dinyatakan berapa yang ditetapkan).
Saya khuatir jika baki wang yang berada dalam simpanan ini saya gunakan bersama-sama duit perbelanjaan perkahwinan daripada bapa saya, tidak layak digunakan kerana perlu difaraidkan mengikut bahagian 2:1:1 (2 bhg adik lelaki, 1 bhg saya dan bapa).
Persoalan saya, jika saya faraidkan duit arwah ibu saya mengikut bahagian masing-masing, adakah adik lelaki saya mempunyai tanggungjawab terhadap saya lagi memandangkan saya menafkahkan diri saya sendiri dan menetap di kediaman sendiri tanpa menyusahkan sesiapa. Adakah saya perlu redha sahaja tentang simpanan ibu yang tidak dinyatakan ketetapan peruntukan untuk majlis perkahwinan saya itu untuk difaraidkan?
Persoalan kedua, adakah pembahagian barang kemas juga perlu difaraidkan kepada bapa dan adik lelaki mengikut kadar tertentu? Mereka bersetuju untuk saya menyimpan barang kemas tersebut namun saya bimbang jika saya satu hari nanti timbul isu mengapa tidak dibahagikan sebetulnya.
Saya mohon maaf atas penulisan panjang kerana saya buntu. Terima kasih.
Jawapan
Firman Allah SWT dalam surah An Nisa': ayat 11
Yang bermaksud: Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Merujuk kepada persoalan, apabila seseorang meninggal dunia, semua harta simpanan peninggalan arwah merupakan harta pusaka. Pihak waris hendaklah memastikan segala jenis hutang arwah diselesaikan menggunakan harta yang ditinggalkan. Kemudian harta tersebut hendaklah difaraidkan kepada waris sebagaimana ditetapkan atau merujuk kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri bagi menyelesaikan urusan faraid.
Apabila saudara perempuan dalam adik beradik sudah mampu dari sudut harta iaitu seorang yang bekerja dan mempunyai harta sendiri, tidaklah menjadi tanggungjawab adik lelaki untuk menanggung keperluannya melainkan jika diberi sebagai rasa ehsan kepada saudaranya.
Manakala duit simpanan ibu yang diperuntukkan untuk perkahwinan boleh dibincang dengan sebaiknya bersama ahli keluarga yang masih hidup supaya tidak berlaku pergaduhan.
Barang kemas peninggalan si mati juga termasuk dalam harta pusaka yang perlu difaraidkan. Barang kemas tersebut boleh dinilaikan harganya dengan harga semasa supaya faraid dapat dilakukan mengikut ketetapan syarak.
Sekian, terima kasih.