Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum W.B.H,
Saya ingin mengemukakan berberapa soalan berkaitan Munakahat.
Ada berlaku pertengkaran diantara saya dengan isteri saya. Isteri mencabar saya untuk melepaskan (menceraikan) dia atas alasan tidak sanggup lagi untuk hidup dengan saya. Menurutnya, untuk meneruskan perkahwianan dengan saya hanya akan membuatkan dia untuk terus berasa tidak bahagia dan hidup dalam tekanan.
Untuk makluman Tuan, ini bukanlah kali pertama Isteri saya mencabar saya untuk menceraikan dirinya. Setiap kali berlaku perbalahan yang besar yang mungkin di akibatkan oleh rasa cemburu dia kepada saya (kerana mengesyaki saya mempunyai hubungan istimewa dengan wanita lain di pejabat atau media sosial) serta alasan-alasan lain seperti (tidak membantunya dalam hal pengurusan rumahtangga dan anak-anak dan sebagainya) serta mengatakan bahawa saya adalah suami yang tidak tahu menghargainya.
Berdasarkan pada situasi dan ketegangan yang berlaku di atas, saya ingin mengemukakan berberapa soalan dan soalan-soalan saya seperti di bawah :
1. Semasa isteri meminta saya meminta cerai. Saya ada merungut dengan membalas katanya dengan "Nak cerai.. Nak cerai.." dengan bermaksud mengajuk dan mengulang kata yang dilafazkan oleh Isteri. Adakah jatuh talak dari saya disitu? Dalam hal di atas, saya tidak berniat untuk menceraikan isteri saya dan saya bimbang sekiranya ianya dikategorikan sebagai lafaz kinayah?
2. Dalam pertengkaran yang sama, isteri saya juga ada berkata "saya dah tak ingin dengan awak!!" dan saya pula membalas "kalau tak nak sudahla !!". Jawapan balas saya di atas juga bukan dengan niat untuk melepas atau menceraikan isteri saya. Adakah ianya dikategorikan sebagai lafaz kinayah?
3.Juga di dalam pertengkaran yang sama, saya ada berkata pada isteri saya "Kalau awak nak bercerai sangat, awak failkan lah perceraian di Mahkamah Syariah. Nanti biar Hakim yang bersoal jawab dengan saya". Niat saya disini adalah untuk menjelaskan bahawa saya tiada apa-apa halangan sekiranya isteri saya ingin mengemukakan fasakh di Mahkamah Syariah dan saya bersedia untuk mempertahankan diri saya dihadapan Hakim Syariah seterusnya Hakim Syariah dapat menilai kewajaran permohonan cerai oleh isteri saya. Berdasarkan suruhan saya di atas dansekiranya isteri saya meneruskan dengan memfailkan permohonan cerai, adakah telah jatuh talak disitu?
Saya memohon pencerahan ke atas situasi dan permasalahan yang saya alami di atas. Pada dasarnya, saya masih menyayangi perkahwinan saya dan saya sudah terlalu lama diasak dan dicabar oleh isteri untuk menceraikannya.
Untuk makluman tambahan, usia perkahwinan kami sudahpun mencecah 17 tahun dan kami dikurniakan 4 orang anak. Anak bongsu kami pula adalah anak istimewa (OKU) Autisme.
Saya memohon pandangan dan nasihat dari pihak Tuan mengenai permasalahan saya di atas.
Sekian.
Terima kasih.
Jawapan
Mejawab pertanyaan tuan :
Persoalan 1 dan 2 adalah merupakan lafaz atau situasi yang tidak termasuk dalam lafaz talak sama ada sorih ataupun kinayah kerana ia adalah lafaz dalam bentuk khabari iaitu satu kenyataan yang mungkin berupa cadangan, mengajuk, peringatan, kenyataan marah dan seumpama dengannya. Maka ia tidak menyebabkan jatuhnya talak. Apatah lagi tuan sebagai suami tidak mempunyai niat untuk mentalakkan isteri.
Begitu juga persoalan 3, ia adalah merupakan kenyataan yang berbentuk cadangan untuk isteri failkan kes ke mahkamah dan ia perlu melalui proses mahkamah terlebih dahulu. Ia tidak akan jatuh secara automatik apabila isteri failkan kes mahkamah semata-mata tanpa melalui proses mahkamah sebagaimana yang dilafazkan oleh pihak suami iaitu "......nanti biar Hakim yang bersoal jawab dengan saya".
Sebagai muhasabah kita bersama, kehidupan berumahtangga ini pastinya akan ada cabaran dan ujian yang melanda bahtera yang dibina itu. Islam menyediakan ruang untuk pasangan yang bermasalah untuk berbincang dan berkomunikasi dengan harmoni dalam menangani permasalahan yang berlaku. Pasangan boleh mendapatkan rundingcara kekeluarga di mana-mana Pejabat Agama Islam Daeran yang terdekat bagi membantu pasangan mencari jalan dan solusi yang terbaik dalam menghadapi isu-isu yang berlaku. Banyakkan berdoa dan bertawakal kepada Allah, agar Allah SWT membantu memudahkan urusan tuan dan isteri.
Sekian, terima kasih.