BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz,

Saya telah berasmara dengan isteri saya, kemudian saya bertanya kepadanya, “Kita pernah ke lakukan posisi ini?” Lalu isteri saya menjawab, “Pernah.” Namun, seingat saya, kami tidak pernah melakukannya, dan saya beranggapan mungkin saya terlupa.

Namun, pada masa yang sama, semasa itu, dalam fikiran saya, saya tertanya-tanya, “Sebelum kahwin, ada dengan sesiapa ke?” dan secara tidak sengaja terkeluar dari mulut saya, “Siapa?” Padahal, niat saya sebenarnya adalah untuk bertanya, “Bila?”

Saya sangat risau, Ustaz, adakah saya telah jatuh hukum li’an? Namun saya yakin saya tidak berniat untuk menuduh isteri saya berzina. Saya benar-benar pasti bahawa saya tiada sebarang niat untuk menuduhnya.

Jadi, apakah hukum dalam keadaan ini?


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Li’an menurut hukum syarak merujuk kepada lafaz-lafaz sumpah yang diucapkan oleh seorang suami apabila dia menuduh isterinya melakukan perbuatan zina yang mencemarkan kehormatan rumah tangga, atau bagi tujuan menolak pertalian nasab. Ia merupakan salah satu mekanisme pembubaran perkahwinan yang melibatkan sumpah sebanyak empat kali atas nama Allah SWT, di mana suami menegaskan tuduhannya, diikuti dengan sumpah kelima yang menyatakan bahawa laknat Allah SWT akan menimpanya jika dia berdusta. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Nur ayat ke 6-7:

(6) وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ 

(7) وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ 

Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar (6) Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta (7).                      

Namun begitu, dalam permasalahan yang ditimbulkan ia tidaklah dianggap sebagai li'an bahkan hanya sekadar sangkaan dan bukan sebagai sebuah lafaz sumpah. Demikian itu, li'an tidak berlaku serta tidak menjejaskan status perkahwinan tuan dan isteri. Justeru dinasihatkan agar tuan lebih berhati-hati dalam isu ini kerana jika terjadinya li'an maka ia akan memberi kesan terhadap perkahwinan serta diharamkan selama-lamanya berkahwin semula dengan isteri yang dili’annya sekalipun isteri tersebut telah berkahwin dengan beberapa orang yang lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image