Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada satu kemusykilan hukum. Situasinya begini. Saya telah berkahwin selama 20 tahun. Semalam kami suami isteri bergaduh dan saya menyatakan bahawa secara automatik, akan jatuh talak 1 apabila umur isteri saya sampai 55 tahun. Pada masa ini umur isteri saya 50 tahun. Mohon pencerahan dari Ustaz tentang lafaz saya itu. Adakah dibenarkan/dibolehkan dalam Islam? Apakah sah lafaz saya itu? Apakah hukumnya? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan berhubung dengan ucapan suami yang mengatakan kepada isterinya bahawa talak 1 akan jatuh secara automatik apabila isteri berumur 55 tahun, merupakan lafaz sorih atau jelas yang boleh membawa kepada berlakunya taklik talak.
Perkara ini hendaklah dilaporkan dengan kadar segera kepada pihak Mahkamah Syariah berhampiran sebagai badan yang berbidangkuasa di dalam memutuskan sama ada suatu lafaz taklik talak itu sah atau tidak.
Sekian, terima kasih.