BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Adakah dibolehkan melangkahi turutan wali?

Ayah kandung sy telah meninggal dunia, saya mempunyai seorang abang kandung sebapa tetapi ketika saya bernikah, saya diwalikan oleh bapa saudara..

Adakah pernikahan sah dengan melangkau turutan wali yang dah di tetapkan? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Melangkau wali bermaksud meninggalkan wali yang dekat dan mengambil wali yang jauh tanpa sebab yang diharuskan. Perbuatan melangkau wali adalah salah menurut syarak. Bahkan ia boleh menyebabkan sesuatu perkahwinan menjadi tidak sah. Menurut mazhab Syafi’i, seseorang perempuan yang bernikah berwalikan wali ab'ad (wali yang lebih jauh tarafnya) sedangkan wali aqrab (wali yang lebih dekat tarafnya) masih ada adalah tidak sah, kecuali wali yang sepatutnya berhak menjadi wali itu hilang kelayakan contohnya tidak memenuhi syarat-syarat untuk menjadi wali seperti bukan seorang Islam, seorang yang terkenal dengan kefasiqkan, gila atau terlalu tua. Apabila seseorang itu tidak memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan maka ia hilang kelayakan, dan wali yang terdekat setelah itu akan mengambil tempatnya menjadi wali. Begitu juga harus bagi wali yang jauh untuk menikahkan dengan keizinan wali yang dekat. 

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berkemungkinan abang kandung puan telah memberi keizinan kepada bapa saudara puan. Untuk penjelasan lebih lanjut, puan disyorkan untuk merujuk kembali ke Pejabat Agama Islam Daerah, di mana puan bernikah dahulu bagi mendapatkan maklumat lanjut dan lebih terperinci bagaimana pihak Pejabat Agama Islam tersebut membenarkan puan bernikah menggunakan wali bapa saudara sedangkan saudara lelaki sebapa masih ada. Mungkin pihak Pejabat Agama Islam lebih mengetahui alasan dan hujjah kenapa perkara ini dibenarkan oleh pihak mereka.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 18

message user image