Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Boleh ke masjid MINTA bantuan orang bukan islam memberi sumbangan duit untuk kegunaan masjid
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pihak masjid boleh menerima sumbangan orang bukan Islam bagi kegunaan masjid.
Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah tidak akan mengabaikan kebaikan seorang mukmin, dia akan diberi ganjaran di dunia dan juga di akhirat. Orang kafir pula akan menerima ganjaran kebaikan yang mereka lakukan kerana Allah semasa di dunia sahaja. Adapun di akhirat kelak, tiada apa-apa habuan dan ganjaran kebaikan untuknya.” - Riwayat Muslim
Berdasarkan kepada hadis di atas, seorang yang bukan Muslim akan mendapat ganjaran di dunia sesuai dengan kebaikan yang dilakukan tersebut. Namun begitu, dia tidak akan beroleh apa-apa kebaikan atau pahala di akhirat kelak.
Sekiranya diharuskan menerima sumbangan daripada orang bukan Islam, maka diharuskan juga memohon sumbangan daripada orang bukan Islam. Walau bagaimanapun adalah lebih baik dan bagi mengelakkan fitnah, semua sumbangan bagi kegunaan di masjid dipohon daripada orang Islam itu sendiri atau dibuat secara umum kepada semua orang.
Sekian, terima kasih.