Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz, saya ingin mendapatkan panduan berkenaan hal harta peningalan seorang ibu kepada warisnya. Ibu tersebut mempunyai anak-anak perempuan sahaja semasa meninggal dunia. Suami telah meninggal lebih dahulu. Si ibu telah menukar nama tanah beliau keatas nama-nama anak perempuan semasa hidupnya. Walaupun begitu beliau tidak memberikan hasil tanah kepada anak-anak perempuan sehingalah beliau meninggal dunia. Beliau juga tidak memberitahu anak-anak perempuan beliau apa yg beliau buat atas hasil yg diperolehi. Selepas meninggal dunia anak-anak perempuan mendapati hasil kebun disimpan oleh siibu dalam bentuk tunai (terdapat juga resit-resit jualan hasil). Perlukah wang tersebut dibahagi mengikut faraid atau anak-anak perempuan boleh mengambil kesemua wang tersebut. Si ibu mempunyai saudara lelaki dan saudara perempuan seibu sebapa. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada fakta kes yang dikemukakan, jelas di sini bahawa tanah tersebut telah ditukar milik kepada anak-anak perempuan si mati (ibu) dan si mati (ibu) telah mengambil manfaat atas harta yang telah dipindah milik kepada anak-anak perempuan. Hasil tanah tersebut yang terkumpul yang disimpan oleh ibu hendaklah dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak termasuklah saudara lelaki dan saudara perempuan seibu sebapa.
Sekian, terima kasih.