Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya telah berkahwin selama setahun setengah. Sekarang kami mengalami masalah kewangan yang serius. Sebelum berkahwin saya telah sedia maklum bahawa suami sedang mengalami masalah dengan bisnes. Tetapi tidak diberitahu secara detail adakah masalah itu berpanjangan atau tidak. Sejak berkahwin sampai sekarang saya seoranga sahaja yang tanggung semua hutang dan komitmen dan perbelanjaan rumah. Hutang semakin banyak yang tertunggak tidak dapat bayar sehingga ratusan ribu. Suami asyik kata insyaAllah masalah akan selesai sikit masa lagi dan saya terus bersabar tetapi sudah setahun lebih saya tidak nampak apa usaha dia untuk selesai kan semua hutang di atas nama saya.Tapi hingga sekarang saya tidak nampak apa jalan keluar dari masalah kewangan ini sampaikan saya berisiko di isytihar bankrap dan saya bekerja seorang. Saya semakin hilang kesabaran dan kepercayaan kepada suami. Saya tidak tahu sama ada suami saya menipu saya atau tidak. Kadang kala fikir untuk bercerai kerana rasa tertipu. Perlu kah sy tuntut cerai. Tapi saya tiada duit untuk mula hidup baru dengan hutang keliling pinggang
Jawapan
Dalam menghadapi permasalahan seumpama ini, puan boleh membuat aduan di mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang berhampiran untuk dilaksanakan sesi rundingcara antara puan dan suami. Rundingcara ini sangat penting bagi mencari solusi dan jalan keluar terhadap setiap permasalahan atau konflik yang berlaku antara suami isteri.
Pertanyaan samada perlu atau tidak puan untuk menuntut perceraian akan terjawab dengan sesi rundingcara tersebut, kerana dalam sesi itu akan dibincangkan apakah hala tuju dan jalan akhir yang sesuai diambil oleh pasangan secara bersama. Permasalahan hutang piutang juga boleh dimuktamadkan dalam sesi tersebut, agar pihak yang berhutang atau empunya hutang bertangungjawab terhadap hutang yang dibuat samada melalui nama suami ataupun isteri.
Disamping itu, puan banyakkanlah berdoa serta bermunajat kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan rumahtangga puan dan dikurniakan solusi yang terbaik dalam menghadapi ujian yang berlaku ini.
Terima kasih.