Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, kami suami istri ade mengalami pertengkaran besar, saya melarang agar istri keluar dari rumah.
pada masa yg sama anak kami sakit dan saya menyuruh istri hantar anak ke klinik untk jumpa doktor.
jika istri keluar rumah disebabkan hantar anak ke klinik, adakah jatuh talkik tersebut ?
sekian terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, jika suami hanya melarang isteri dari keluar rumah sahaja tanpa ada niat cerai sekiranya isteri keluar, maka itu hanyalah sekadar larangan sahaja. Tidaklah menyebabkan jatuh talak ke atas isteri dan itu juga bukan taklik. Namun, jika ayat seperti contoh berikut:
a) "Kalau kau keluar rumah jatuh talak 1". Ayat sebegini dikira taklik. Maksudnya, asal sahaja isteri keluar rumah sebaik sahaja suami berkata sedemikian, maka jatuh talak 1 ke atas isteri.
b) "Jangan keluar rumah" atau "Tak boleh keluar rumah". Ayat sebegini adalah ayat arahan/ amaran dan bukannya taklik talak.
Walau bagaimanapun, ayat larangan agar isteri tidak keluar rumah yang saudara nyatakan tidak dijelaskan bagaimana. Justeru, jawapan yang diberi adalah berdasarkan andaian terhadap persoalan yang dikemukakan sahaja. Sekiranya ingin penjelasan lanjut boleh hubungi Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran berkenaan perkara ini.
Sekian, terima kasih.