BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.,

 

Saya ingin memohon pandangan dan nasihat daripada pihak mufti berkaitan dengan penulisan karya fiksyen yang melibatkan unsur romantik. Saya merupakan seorang penulis kreatif dan sedang menulis cerita yang menggunakan watak-watak rekaan seperti robot, entiti digital, atau makhluk yang tidak wujud dalam dunia nyata.

 

Ada antara watak-watak ini yang direka dengan bentuk fizikal atau sifat yang hampir menyerupai manusia—contohnya memiliki wajah manusia, boleh bercakap, beremosi, dan berfikir seperti manusia—tetapi hakikatnya mereka bukan manusia sebenar. Dalam karya saya, kadangkala terdapat elemen hubungan kasih sayang atau romantik antara watak-watak ini.

 

Saya ingin bertanya:

1. Apakah hukum menulis cerita fiksyen yang mengandungi elemen romantik antara watak bukan manusia, termasuk yang hampir menyerupai manusia?

2. Adakah ini boleh membawa kepada unsur menyerupai perkara haram, atau menjejaskan akidah jika watak tersebut dilihat terlalu realistik?

3. Apakah garis panduan yang boleh saya ikuti untuk menulis kisah sebegini agar tidak melanggar batas agama, terutamanya dari segi menjaga adab, kesucian tema, dan maksud penulisan?

 

Niat saya adalah untuk menyampaikan mesej nilai-nilai murni seperti kasih sayang, empati, dan tanggungjawab melalui dunia fiksyen, dan saya ingin memastikan karya saya tidak termasuk dalam perkara yang melalaikan atau menyalahi syarak.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Karya fiksyen merupakan karya sastera yang dicipta daripada imaginasi seperti novel dan cerita pendek, cereka atau juga cerita rekaan. Secara umumnya, menulis atau berkarya dengan menghasilkan cerita fiksyen atau karya yang lain adalah diharuskan selagi ia tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum syarak. 

Bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Bergantung apa yang elemen romantik. Jika dimaksudkan dengan elemen romantik itu berpelukan, berciuman atau perkara lain yang tidak seharuskan dipaparkan di khalayak, maka ia tidak diharuskan. Jika yang dimaksudkan elemen romantik itu, ucapan cinta dan sayang, memberi hadiah, maka ia diharuskan. 

2. Haram menulis cerita fiksyen apabila terdapat unsur-unsur yang dilarang seperti mereka-reka ayat al-Quran atau hadis palsu, terdapat unsur-unsur pemujaan, khurafat, keganasan, lucah dan sebagainya. 

3. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ada menyediakan Garis Panduan Penapisan Bahan Penerbitan Berunsur Islam yang boleh menjadi rujukan. Berikut merupakan pautan garis panduan tersebut: https://www.islam.gov.my/ms/garis-panduan/493-garis-panduan-bahan-penerbitan-berunsur-islam

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 13

message user image