BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz / Ustazah.

Saya nak minta pendapat atau nasihat. Isteri saya selalu tolak ajakan saya jika ingin bersama. Apabila nak tidur bila saya peluk mesti dia akan tepis. Hampir setiap malam dia akan buat begitu. Hampir setahun dia menolak ajakan saya untuk bersama. Saya terkadang terfikir adakah perkara ini normal jika suami isteri tidak bersama hampir setahun macam ni. Dia selalu bagi alasan dia tak suka atau sakit. Pada mula saya cuba faham keadaan isteri saya, tapi kalau sudah hampir setahun saya tak tahu apa yang harus saya buat. Kami telah berkahwin 3 tahun dan ada seorang anak berusia 2 tahun lebih. 

Jadi boleh tak saya nak minta nasihat dari ustaz / ustazah bagaimana cara untuk saya menyelesaikan masalah saya dengan isteri. Saya harap pihak Ustaz /  ustazah dapat memberi pencerahan dan membantu saya.

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Di antara tanggungjawab isteri adalah mentaati perintah suami pada perkara yang ma’ruf selagimana perintah tersebut tidak bercanggah dengan syara. Para fuqaha bersepakat bahawa suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada alasan-alasan syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram. Sekiranya tiada keuzuran syarak, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suami untuk bersetubuh. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إلى فِرَاشِهِ فأبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلَائِكَةُ حتَّى تُصْبِحَ.

Maksudnya: Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi. (Riwayat al-Bukhari)

Pengajaran daripada hadis tersebut menunjukkan besarnya hak suami ke atas isterinya. Ini menjadi dalil bahawa haram bagi seorang isteri itu menolak ajakan suami mahupun berlengah-lengah atau dipaksa suaminya mengajak ke tempat tidur untuk istimta’ (berseronok) dan bersetubuh. Menolak permintaan tersebut dianggap sebagai dosa besar disebabkan malaikat melaknatnya sehingga pagi.

Walau bagaimanapun, tuan perlu bijak untuk memenangi hati isteri, seperti membantu kerja-kerja rumah, lebih-lebih lagi jika beliau juga turut bekerja. Menghiburkan isteri dengan mengajak beliau berjalan-jalan atau memberikanya hadiah. Bermesra dengan beliau, menanyakan apa-apa masalah yang merunsingkannya.

Seandainya tuan telah berusaha sedaya upaya untuk menawan hati isteri akan tetapi gagal, tuan dan isteri bolehlah membuat sesi rundingcara bersama pegawai khidmat nasihat di mana-mana Pejabat Agama Islam yang berhampiran, agar permasalahan ini tidak berpanjangan dan membawa kepada kemudharatan yang lebih besar.

والله أعلم بالصواب

Terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 8

message user image