Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ada beberapa soalan tentang hukum anime dan perkara lain
1) Hukum anime
2) Apakah aurat anime lain selain rambut yang boleh dilihat
3) Adakah paha atau dada(yang ditunjukkan garis) boleh dilihat
4) Apakah karakter anime yang memakai baju ketat tetapi menutup seluruh tubuh boleh dilihat
5) Hukum menonton anime yang mempunyai unsur kesyirikan
6) Adakah boleh menonton anime yang ada adegan makan dan minum barang yang Haram
7) Hukum anime yang ada adegan bersentuhan seperti berpegang tangan atau berpeluk sahaja
8) Saya ada menonton video dari Ust Azhar Idrus yang mengatakan tentang aurat anime yang menunjukkan karakter yang seumpama dengan perempuan sebenar. Boleh tolong jelaskan?
Soalan Bonus:
1) Adakah adik kepada atuk saya merupakan mahram kepada saya
2) Adakah anak kepada adik atuk saya itu juga mahram kepada saya
3) Sejadah saya ada banyak bulu kucing yang halus dan saya sudah mencuba banyak kali untuk membuangnya dengan menggunakan roll tapi Masih ada bulu halus yang tertinggal. Adakah solat saya sah?
Itu sahaja soalan saya. Semoga boleh dijawab
Jawapan
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Hukum menonton anime pada asalnya adalah harus selagi tiada unsur atau perkara yang boleh menjadi haram menontonnya.
2. Secara umumnya, anime atau kartun tidak dikira aurat sama seperti aurat manusia sebenar. Ini kerana ia bukan nyata dan sekadar animasi. Oleh itu, jika melihat anime yang kelihatan rambut atau tangan anime tersebut adalah dibolehkan. Walau bagaimanapun, jika melihat anime tersebut boleh mendatangkan syahwat maka adalah haram menontonnya walaupun watak anime tersebut menutup aurat sekalipun.
3. Telah diterangkan jawapannya pada jawapan no. 2.
4. Telah diterangkan jawapannya pada jawapan no. 2.
5. Harus menonton apa-apa cerita yang ada unsur kesyirikan sekadar untuk mengambil iktibar atau hiburan semata-mata tanpa membenarkan kepercayaan syirik tersebut.
6. Harus menonton anime yang ada adegan makan dan minum barang yang Haram tanpa meredai perkara tersebut.
7. Harus menonton anime yang ada adegan bersentuhan seperti berpegang tangan atau berpeluk selagi tiada unsur lucah atau menaikkan syahwat.
8. Setakat carian kami, yang kami jumpa berkenaan penerangan Ustaz Azhar Idrus adalah berkaitan tidak dibenarkan melihat watak kartun jika menaikkan syahwat.
Jawapan soalan bonus:
1. Adik atuk adalah mahram kepada tuan.
2. Anak adik atuk adalah bukan mahram kepada tuan.
3. Dimaafkan jika telah berusaha bersungguh-sungguh membuangnya dan tiada pilihan sejadah lain atau lokasi yang yang lebih diyakini kesuciannya.
Sekian, terima kasih.