BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Saya mohon jasa baik pihak tuan/puan untuk memberikan pandangan syariah berkenaan situasi pekerjaan saya dalam industri fintech.

Saya kini bekerja sebagai seorang Deployment Specialist di sebuah syarikat teknologi kewangan di Malaysia iaitu Revenue Monster Sdn Bhd. Tugas saya adalah untuk menyokong pemasangan dan penyelenggaraan terminal pembayaran (payment terminal) yang digunakan oleh pelbagai jenis perniagaan.

Antara klien syarikat ini termasuk:

  • Kedai makanan tidak halal

  • Syarikat yang menjual arak seperti “Beer Bank”

  • Pelbagai perniagaan halal seperti restoran, kedai runcit, dan lain-lain

Soalan saya ialah:

  1. Apakah hukum saya bekerja dalam syarikat ini dari sudut syariah, memandangkan sebahagian klien adalah dari sektor tidak halal?

  2. Adakah kerja saya dianggap membantu dalam dosa (ta’āwun ‘ala al-ithm) sekiranya saya memberi sokongan teknikal kepada terminal yang digunakan oleh klien tidak halal?

  3. Apakah status pendapatan saya – halal, syubhah atau haram?

  4. Apakah nasihat syariah dalam situasi ini jika saya masih belum mempunyai pekerjaan alternatif?

Saya mohon panduan berdasarkan hukum syarak dan pertimbangan fiqh muamalat. Segala pandangan daripada pihak tuan/puan amat saya hargai.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
[Nama Penuh Anda]
Deployment Specialist
Revenue Monster Sdn Bhd
[Emel Anda]
[No. Telefon – jika ingin disertakan]


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umum Islam melarang umatnya terlibat dengan menolong atau membantu orang lain dalam perkara maksiat atau perkara yang diharamkan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Namun, pertolongan yang diberikan boleh dikategorikan kepada pertolongan secara langsung dan pertolongan yang diberikan secara tidak langsung. Dalam kes yang disebutkan, kerja anda adalah untuk menyokong pemasangan dan penyelenggaraan terminal pembayaran (payment terminal) yang digunakan oleh pelbagai jenis perniagaan ia bukanlah kerja yang secara langsung melibatkan jual beli arak atau makanan haram itu sendiri.

Oleh itu, kerja yang anda lakukan adalah halal kerana anda tidak terlibat secara langsung dengan urusniaga haram yang dijalankan oleh syarikat tersebut. Namun terdapat sedikit syubhah di dalam urusniaga yang dijalankan perkhidmatan yang diberikan secara tidak langsung membantu serta menyokong perkembangan industri yang tidak patuh syariah. 

Dalam hal ini, kita disarankan oleh Nabi SAW supaya menjauhi perkara yang syubhah, agar diri dan rezeki kita terpelihara, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara-perkara syubhah yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhah, sesungguhnya dia telah membersihkan agama dan maruah dirinya.

Justeru itu, walaupun pekerjaan anda sekarang masih dikira harus, amat digalakkan untuk berusaha mencari pekerjaan yang lebih jelas dan bersih sumbernya, agar rezeki lebih berkat, hati lebih tenang, dan ibadah pun terasa lebih ikhlas dan ringan.

Semoga Allah SWT membuka jalan rezeki yang lebih luas dan bersih buat anda, serta memberkati setiap usaha dan langkah yang anda ambil. Amin.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 10

message user image