BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/mufti, saya mohon panduan dalam satu isu keluarga yang memberi tekanan emosi kepada saya sebagai anak perempuan yang telah berkahwin.

 

Saya merupakan anak perempuan bongsu dan kini telah berkahwin. Sewaktu saya masih bujang dahulu, saya pernah membantu abang-abang saya dari segi kewangan, termasuk memberi pinjaman apabila mereka susah. Namun apabila mereka kembali senang, hutang tersebut tidak dibayar semula.

 

Kini, abang-abang saya kembali menghadapi kesempitan kerana pendapatan mereka jatuh, tetapi mereka masih perlu membayar komitmen besar seperti rumah dan kereta mewah. Mereka sering meminta bantuan kewangan daripada ibu bapa saya, dan ibu bapa saya pula mengharapkan saya turut membantu kerana saya mempunyai pendapatan yang paling stabil dalam kalangan adik-beradik.

 

Ibu bapa saya selalu menyebut bahawa saya perlu membantu kerana "adik-beradik kena tolong-menolong untuk jaga hubungan keluarga,” dan bahawa "dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain juga.” Saya faham maksudnya, tetapi saya rasa sangat terbeban kerana saya kini sudah berkahwin, ada komitmen sendiri, dan ingin bina kehidupan dengan suami.

 

Saya pernah menyuarakan rasa tidak mampu dan tidak selesa kepada ibu saya, namun ibu saya menyampaikan perkara itu kepada abang saya dan menyebabkan hubungan kami menjadi renggang. Kini saya jarang balik kampung kerana takut timbul pergaduhan atau tekanan emosi. Saya rasa hubungan saya dengan keluarga makin jauh, bukan kerana benci, tetapi kerana saya penat dan rasa tidak difahami.

 

Suami saya juga tidak menyokong saya terus membantu abang-abang saya kerana beliau tidak mahu mereka terus bergantung kepada orang lain, dan juga kerana beliau percaya bukan tanggungjawab saya sebagai seorang adik perempuan untuk membantu abang-abang yang jauh lebih tua dan pernah hidup senang. Ini adalah cara suami saya untuk lindungi emosi dan mental saya. Namun, ibu bapa saya menganggap suami saya yang mengubah saya menjadi seorang yang berkira/kedekut, walhal saya telah lama memendam dan berkorban sebelum kahwin lagi.

 

Soalan saya:

1. Apakah pandangan Islam terhadap situasi seperti ini?

2. Adakah saya berdosa jika saya tidak membantu abang-abang saya yang masih meneruskan gaya hidup tinggi walaupun dikatakan dalam rezeki kita ada rezeki orang lain?

3. Adakah saya dianggap anak derhaka jika saya meletakkan had (boundaries) untuk menjaga kestabilan dan kesihatan emosi saya?

4. Apakah batas tanggungjawab seorang anak perempuan yang telah berkahwin terhadap keluarga kandung, khususnya dalam hal kewangan dan bantuan kepada adik-beradik?

5. Adakah berdosa bagi suami saya jika beliau tidak mengizinkan saya membantu abang-abang saya? Adakah ini perintah yang berpatutan dengan syarak, dan wajarkah saya untuk patuh?

6. Adakah berdosa jika saya jarang pulang ke kampung berjumpa ibu bapa saya untuk mengelakkan pergaduhan dan menjaga emosi saya? 

Saya amat menghargai panduan ustaz/ustazah dari sudut syarak dan hikmah agar saya tidak terus hidup dalam rasa bersalah atau kekeliruan, dan dapat menjalankan tanggungjawab dengan adil terhadap keluarga kandung dan keluarga sendiri. Mohon pertolongan pihak tuan/puan untuk tidak mendedahkan nama saya di mana-mana platform.

Terima kasih atas perhatian dan jawapan yang diberikan. Wassalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Secara asasnya, membantu sesama adik beradik adalah amalan yang mulia. Namun demikian, ia bukanlah menjadi tanggungjawab seorang adik untuk terus-terusan memberi sumbangan kepada abangnya sedangkan diri sendiri juga mempunyai komitmen dan beban kewangan yang perlu ditanggung. Oleh yang demikian, merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Islam amat menitikberatkan sikap tanggungjawab dan toleransi dalam diri Muslim. Dalam situasi yang dinyatakan, seorang abang sewajarnya tidak meletakkan beban kepada adiknya dengan semata-mata berharap bantuan daripada orang lain. Seharusnya, berusaha sedaya upaya untuk mencari alternatif dan meningkatkan kewangan sendiri. Manakala, dari sudut hutang yang tidak dibayar, ia bersalahan dengan tuntutan agama kerana agama umat Islam diwajibkan membayar hutang, sekiranya dilengah-lengahkan ia dianggap sebagai suatu kezaliman. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Maksudnya: Menangguh pembayaran hutang bagi orang yang mampu ialah satu kezaliman. (Sahih al-Bukhari) 

Nabi Muhammad SAW sangat menekankan umat Islam melangsaikan hutang. 

2. Pada dasarnya, seorang isteri wajib mentaati dan mendengar arahan suami. Maka dalam hal ini, keutamaan adalah mendengar arahan suami agar tidak berterusan membantu abang. Tambahan pula, masing-masing mempunyai komitmen yang perlu dilangsaikan. Di pihak abang pula, seharusnya mereka merancang ekonomi keluarga dengan lebih baik dan mengikut kemampuan.

3. Bagi seorang isteri, ketaatan yang utama adalah kepada suami dan dalam masa yang sama tidak membelakangkan ibu bapanya. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan dalam hal ini termasuklah kesihatan mental. Justeru, seorang anak perlu membuat pertimbangan yang baik terutamanya melibatkan hal hubungan kekeluargaan. Disarankan agar menjelaskan situasi sebenar kepada ibu bapa dan abang agar tidak berlaku salah faham.

4. Tiada ketetapan yang spesifik bagi tanggungjawab seorang anak perempuan yang telah berkahwin kepada keluarga kandungnya terutamanya dalam bab kewangan. Ia merupakan belas ihsan dan budi bicara sekiranya anak perempuan ingin menghulurkan bantuan kewangan kepada ibu bapa mahupun adik beradik bergantung kepada kemampuan.

5. Suami adalah insan yang dekat dengan isteri dan lebih mengetahui susah senang yang diharungi dalam kehidupan bersama. Justeru, suami berhak memberi cadangan dan nasihat yang dirasakan boleh meringankan masalah isterinya. Tidaklah berdosa sekiranya suami melarang isteri membantu abang, namun janganlah sampai larangan tersebut membawa kepada putusnya silaturrahim sesama keluarga. 

6. Tindakan jarang pulang ke kampung dibimbangi akan mengakibatkan masalah yang lebih besar. Justeru, dinasihatkan agar perkara ini dibincangkan terlebih dahulu dengan lebih teliti bersama ibu bapa dan abang. Adapun sekiranya perbincangan tetap juga tidak berhasil dan tidak menemui jalan damai, maka bagi memelihara kesihatan mental, bolehlah mengambil masa seketika untuk bertenang.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 11

message user image