Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
As Salam Ustaz. Tahun 90an dulu ayah saya hendak membeli sebuah rumah kampung tetapi kekurangan wang. Ayah saya telah refinance kereta nya untuk menambah wang untuk tujuan tersebut. Adik saya telah bersetuju untuk membayar ansuran kereta tersebut setelah direfinance dan geran kereta itu di tukar kepada nama beliau. Setelah 7 atau 8 tahun ayah saya telah meninggal dunia, adik saya telah mengambil kereta tersebut. Kami tidak membantah. Kereta itu kini telah buruk dan telah pun beliau jual. Kemuskilan saya ialah kini adik saya menuntut kami (saya dan adik-adik yang lain) membayar duit refinance kereta tadi yang di gunakan untuk membeli rumah kampung tadi. Boleh ke dia membuat tuntutan ini Ustaz? Rumah kampung tersebut telah selesai urusan faraid. Sekian Terima kasih.
Jawapan
Hukum Faraid adalah peraturan dalam hukum syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang. Hukum Faraid adalah satu aspek penting dalam hukum keluarga Islam dan ia merupakan syariat dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 7:
Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
Sekiranya hal urusan faraid telah diselesaikan, tiada apa yang boleh dituntut dan persetujuan untuk membayar refinance telah pun ada semenjak arwah ayahnya masih ada. Dan beliau juga telah mengambil manfaat daripada kereta tersebut. Tidak wajar untuk membuat tuntutan tersebut dan ini hanya menimbulkan perselisihan faham yang boleh menggugat keharmonian hubungan kekeluargaan. Bincang dan capailah kata sepakat.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih