Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Sekiranya jiran kita serba kekurangan, bolehkah kita berikan zakat terus kepada dia tanpa melalui pejabat zakat?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya jiran yang serba kekurangan tersebut tidak sampai ke tahap fakir atau miskin, maka dikira sebagai sedekah. Tetapi, sekiranya jiran tersebut termasuk dalam kategori fakir atau miskin, iaitu asnaf dan puan ingin memberikan terus zakat kepadanya tanpa melalui pihak zakat, ia tertakluk kepada fatwa seperti berikut : “Walaupun dari segi syara’ mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib”. Rujukan fatwa : http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/2005-2009/175-hukum-mengagihkan-zakat-secara-persendirian-dan-qada-zakat والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.