Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Tuan/Puan yang dihormati,
Saya ingin mengemukakan satu persoalan berkenaan dengan cadangan pembinaan sebuah tandas di dalam bilik imam di surau kami, dan memohon pencerahan dari sudut hukum syarak.
Untuk makluman, bilik imam di surau kami terletak di bahagian hadapan saf solat, di sebelah kiri arah kiblat. Kami bercadang untuk membina sebuah tandas di dalam bilik tersebut, juga di bahagian kiri, yang akan terletak di dalam bilik imam itu sendiri.
Sehubungan itu, kami ingin mendapatkan penjelasan berkenaan hukum syarak berkaitan pembinaan tandas di dalam bilik imam yang berada di hadapan saf solat, walaupun di bahagian sisi (kiri). Adakah perkara ini dibolehkan, atau terdapat larangan atau garis panduan tertentu yang perlu kami ambil kira?
Kerjasama dan pencerahan daripada pihak tuan/puan amat kami hargai. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Terdapat garis panduan umum mengenai adab tempat solat dan kesucian ruang: Bagi sebuah Masjid dan ruang solat perlu dijaga kesuciannya dari najis, bau busuk, atau perkara yang tidak sesuai. Berdasarkan situasi yang diterangkan, dibenarkan untuk membina tandas yang berkebetulan menghadap kiblat atas keperluan tertentu dengan syarat ia mempunyai pemisah seperti dinding dan dipastikan kesucian ruang solat itu dijaga. Setakat ini tiada garis panduan yang menyatakan larangan solat menghadap ke arah tandas. Sebaiknya tandas yang hendak dibina, dinding tandas dalam bilik imam tidak bersambung dengan dinding ruang solat utama.
Sekian, terima kasih.